PKPB lanjut hingga 9 Jun, Muhyiddin minta maaf tidak dapat benarkan perjalanan rentas negeri sempena raya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama 4 minggu lagi, sehingga 9 Jun depan.

Menurutnya, walaupun Malaysia telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, ia masih belum berjaya sepenuhnya justeru langkah-langkah wajar masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini.

“Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi. Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Tan Sri Muhyiddin juga sedar ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai dalam tempoh ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam tempoh tersebut justeru mengingatkan orang ramai tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu
bapa dan sanak saudara.

“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OKlah. Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.