PM : Kehidupan tidak akan kembali seperti biasa, biasakan diri dengan ‘the new normal’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu.

Antara petikan kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan ke fasa ketiga bermula 15 April ke 28 April pada Jumaat.

“Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan. Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.

“Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.

“Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih.

“Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu.

“Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab.

“Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.

“Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, ‘hand sanitizer’ dan sebagainya. Juga memakai face mask.

“Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara-saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang,” ujar Tan Sri Muhyiddin.

Foto : BH Online

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.