Jika pada 9 Mei lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa orang ramai boleh bergerak merentas daerah untuk menyambut Aidilfitri, polis Pahang tetap tidak menggalakkannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, lebih afdal jika aktiviti berhari raya hanya dihadkan kepada kawasan penempatan dan taman perumahan sama, dengan mengawal kehadiran tetamu supaya terlalu ramai.
“Kita tidak menggalakkan aktiviti rentas daerah kerana ia babitkan jarak jauh dan sukar untuk kita memantau orang ramai supaya mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan COVID-19 di kawasan taman terbabit.
“Kita bimbang ziarah rentas daerah boleh mengundang penularan jangkitan wabak COVID-19 kerana kita tidak tahu tahap atau status kesihatan individu yang datang berkunjung rumah.
“Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak yang belum selesai,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Pematuhan SOP PKPB membabitkan beberapa premis perniagaan dan pusat beli-belah di sekitar bandar Kuantan, pada Selasa.
Foto : NSTP