“Prestasi turun naik bersama Sri Pahang jangan dibawa ke skuad kebangsaan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tonggak tengah Harimau Malaya, Nor Azam Azih mahu menutup dulu cerita prestasi turun naik bersama Sri Pahang, sebaliknya memberi fokus penuh kepada persiapan skuad kebangsaan untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selepas 13 perlawanan, dia belum dapat menonjolkan aksi terbaik bersama Sri Pahang yang ketika ini menduduki tangga kesembilan liga dengan 12 mata.

“Saya rasa aksi bersama kelab dan skuad kebangsaan adalah berbeza. Saya akui prestasi saya pun tidak begitu menentu bersama SPFC, kadang kala ada turun naik tetapi buat masa ini, saya hanya fokus pada Harimau Malaya.

“Kalau diberikan kepercayaan oleh jurulatih, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Nor Azam merupakan antara pilihan wajib Tan Cheng Hoe bersama-sama Brendan Gan untuk mengemudi jentera tengah sejak beberapa tahun kebelakangan, namun untuk aksi menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun dia bakal bergandingan dengan pemain lain.

Ini kerana Brendan Gan menjalani penggantungan automatik satu perlawanan setelah mengumpul dua kad kuning, namun bagi Nor Azam ia bukan masalah besar buatnya.

“Saya rasa semua pemain tengah boleh menggantikan Brendan Gan. Nazmi (Faiz) dan Syamer (Kutty Abba) pun boleh beraksi dengan baik kerana saya lihat mereka memberikan komitmen 100 peratus ketika sesi latihan.

“Kami pun sudah ada komunikasi yang baik antara satu sama lain. Jika ada peluang untuk bermain, saya tidak kisah untuk digandingkan dengan sesiapa pun.

“Malah kehadiran pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi juga membuatkan persaingan secara profesional menjadi lebih sihat,” kata Nor Azam dalam sidang media secara online bersama wartawan di Malaysia.

Dalam pada itu, Nor Azam juga memberitahu bahawa Tan Cheng Hoe sentiasa mengingatkan agar pemain-pemain tidak terlalu melayan media sosial bagi mengelakkan fokus terganggu.

“Ada (sekatan media sosial). Jurulatih pesan pada semua pemain jangan layan komen negatif dan jangan melampau layan media sosial sampai mengganggu mental dan fizikal pemain, itu pesanan jurulatih setiap hari,” kata pemain berasal dari Kuala Lipis itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.