Program Naturalisasi Ditangguhkan, Tiada Tambahan Pemain Buat Masa Ini

Program naturalisasi
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak ada tambahan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan setidak-tidaknya sehingga berakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Ini berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia membuat keputusan untuk menangguhkan seketika program itu yang diwujudkan pada tahun 2018 dengan Datuk Wira Yusoff Mahadi bertindak sebagai pengerusinya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad Harimau Malaya akan meneruskan cabaran di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia dengan pemain naturalisasi sedia ada.

“Sebarang penambahan pemain naturalisasi hanya akan dibuat untuk pusingan kelayakan yang seterusnya,” kata Datuk Hamidin dalam sidang media online selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Selasa.

Sebelum ini FAM mewujudkan Program Naturalisasi sebagai salah satu usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program-program pembangunan sedia ada.

Skuad negara ketika ini mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula namun kegagalan mereka memberikan impak pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu menyebabkan program naturalisasi dikritik hebat dan dianggap sebagai gagal.

Datuk Yusoff Mahadi sebelum ini ada memberitahu program itu bukan gagal sebaliknya mereka tidak cukup masa membuktikan sesuatu.

Berita berkaitan : Mana Ada Program Naturalisasi Gagal, Cuma Tak Cukup Masa – Yusoff Mahadi

“Saya tak anggap naturalisasi pemain ini gagal. Kalau kita lihat kemunculan Mohamadou Sumareh dalam pasukan kebangsaan, dia pun agak bergelut. Saya fikir Sumareh mula menunjukkan taring ketika berdepan Indonesia.

“Kita tidak boleh kata naturalisasi ini gagal, cuma akhirnya saya kena cakap kita tak cukup masa. Bayangkan Liridon baru dipanggil masa kita nak ke UAE, dan De Paula pada Mac lalu.

“Saya masih beranggapan kualiti mereka sebagai pemain masih ada, tapi mereka belum serasi dengan pemain lain. Saya tak anggap naturalisasi ini sebagai satu kegagalan sebab kita melihat banyak pasukan lain juga menggunakan pemain naturalisasi termasuk UAE,” kata Yusoff Mahadi pada bulan Jun lalu.

Apabila Program Naturalisasi kembali diteruskan nanti, terdapat beberapa lagi pemain yang boleh dinaturalisasikan pada tahun depan antaranya Gonzalo Cabrera, Endrick Dos Santos, Lee Tuck, Sergio Aguero dan Paolo Josue.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.