PSS Sleman sahkan Bokhashvili dilepaskan, bakal ganti Sergio Aguero di Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelab Liga 1 Indonesia, PSS Sleman FC mengesahkan bahawa penyerang import mereka Yevhen Bokhashvili telahpun meninggalkan pasukan itu berkuatkuasa serta merta.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Marco Gracia Paulo berkata pemain itu telah meminta izin untuk dilepaskan dan kelab terpaksa menerima keputusan pemain itu meskipun dia adalah salah seorang pemain tonggak pasukan.

“Kita telah berunding dengannya supaya terus kekal tetapi tidak dapat mengubah pendiriannya. Kami juga perlu mengetepikan ego dan memikirkan kebaikan untuk kelab serta setiap pemain. Sumber : sport.detik.com

“Yevhen telah memberikan satu alasan yang realistik dan masuk akal yang membuatkan kami bersetuju, sehingga kini tiada kepastian mengenai sepak mula Liga 1 Indonesia, masih samar dan Yevhen juga bakal bergelar bapa tidak lama lagi. Jadi kami memahami situasinya.

“Dia salah seorang pemain terbaik yang pernah kita ada, telah banyak menyumbang untuk warga Sleman. Walaupun dia tidak lagi berada di sini, kita mengharapkan dia akan mendapat tempat yang lebih baik di luar sana,” kata Marco.

Dan destinasi seterusnya penyerang dari Ukraine itu adalah Sri Pahang FC, di mana dia bakal menggantikan seorang lagi penyerang Sergio Aguero yang diberitakan akan dipinjamkan ke kelab lain.

Kehadiran Yevhen Bokhashvili pastinya disambut gembira penyokong tok gajah memandangkan mereka sememangnya mengharapkan pasukan dapat membawa masuk seorang penyerang yang tajam selepas kehilangan Ivan Carlos dan Dickson Nwakaeme bagi musim baru.

Yevhen Bokhashvili yang pernah mewakili skuad kebangsaan Ukraine di semua peringkat umur telah meledak 16 gol pada musim sulungnya bersama PSS Sleman pada 2019 dan pantas menjadi pemain tumpuan Liga 1 Indonesia.

Penyokong pastinya mengharapkan Yevhen Bokhashvili dapat menterjemahkan sentuhan sama di Sri Pahang FC dan sekiranya benar Sergio Aguero dipinjamkan ke pasukan lain, bermakna ada satu lagi kekosongan slot pemain import di dalam pasukan.

Mereka sebelum ini sudah ada tiga pemain iaitu Herold Goulon, Lee Tuck dan Mamadou Wague, jadi mungkinkah seorang lagi pemain import akan direkrut Sri Pahang FC sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pertama Liga Malaysia pada 19 Februari?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.