Ragini : ‘Pemakanan sihat punca pemain Kelantan FC lebih cergas, berstamina tinggi’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua kemenangan dalam tiga perlawanan, terbaru kemenangan dramatik 2-1 ke atas PDRM FC pada Sabtu lalu memperlihatkan peningkatan positif di kem Kelantan FC.

Umum mengetahui pasukan Kelantan FC tidak diletakkan harapan tinggi untuk pergi jauh dalam Liga Premier 2021 berikutan rombakan besar pada skuad itu yang menyaksikan mereka melepaskan hampir kesemua pemain tonggak dan menaruh kepercayaan terhadap pemain-pemain muda untuk membawa cabaran.

Selepas membuka tirai musim baru dengan kekalahan 0-1 kepada Perak II, Kelantan FC bergelut untuk melakar kemenangan tipis menerusi jaringan minit akhir menentang barisan ‘budak sekolah’ skuad Projek FAM-MSN yang membuatkan pengendalinya Marco Ragini meluahkan rasa tidak puas hati.

“Saya tahu penyokong mahukan lebih lagi, mereka cukup sayangkan pasukan ini tetapi kita gagal untuk berbuat demikian dan melepaskan banyak peluang, jadi saya meminta maaf kepada mereka kerana bukan ini yang sepatutnya kita tunjukkan kepada mereka. Kami perlu bekerja kuat lagi terutama dalam aspek ketahanan mental.

“Hal ini kerana tanggungjawab terhadap pasukan amat besar untuk mendapatkan keputusan positif dan semoga ini menjadi satu pengajaran,” ujarnya selepas perlawanan menentang skuad Projek FAM-MSN.

Selepas itu, mereka kemudiannya melalui satu lagi malam yang tegang menentang PDRM FC, ketinggalan kepada jaringan Hidhir Idris sebelum bangkit melakar kemenangan menerusi dua jaringan pantas dalam tempoh satu minit oleh Nursyamil Abd Ghani dan Jack Hindle di penghujung perlawanan.

Berita berkaitan : Jack Hindle sepatutnya dilayang kad merah kerana mengasari pengadil

Untuk beroleh kemenangan minit akhir dalam dua perlawanan berturut-turut menunjukkan tingginya semangat juang pemain dan keyakinan mereka yang tidak mudah menyerah kalah, tetapi apa yang menariknya, Marco Ragini mendedahkan pemain-pemainnya kekal berstamina sehingga tamat permainan dibantu faktor pemakanan sihat.

Malah, di media sosial pasukan itu juga sentiasa ada posting mengenai pemakanan sihat serta makanan yang disediakan kepada pemain.

“Kami cuba meyakinkan pemain bahawa kondisi pemakanan mereka amat penting. Ketika ini, saya bersama jurulatih kecergasan kami sedang cuba bantu mereka mengamalkan diet seimbang dan ramai pemain kami sudah mula mengurangkan berat badan.

“Sebagai contoh, berat penjaga gol kami telah berkurangan sebanyak sepuluh atau sembilan kilogram,” katanya.

Sebagai rekod, jurulatih kecergasan Kelantan FC tahun ini adalah dari Sepanyol iaitu Alberto Linan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.