Ketiadaan penyerang kebangsaan, Darren Lok membawa impak besar kepada jentera serangan PJ City FC, selepas sekadar meraih satu mata selepas seri dengan Penang FC, dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Pengurus pasukan, K.Rajendran berkata, walaupun berjaya memperagakan aksi mantap, namun ketumpulan penyudah membuatkan rentetan peluang di hadapan pintu gol lawan tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.
Menurutnya, Darren Lok yang juga penjaring terbanyak pasukan dengan lima gol tidak dapat beraksi kerana telah mengutip tiga kad kuning lantas kehilangannya benar-benar dirasai skuad P.Maniam itu.
“Jika Darren berada dalam pasukan, mungkin keputusan berubah, tapi secara keseluruhan sememangnya persembahan pasukan adalah baik apabila mereka dapat menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta banyak peluang.
“Tanpa Darren, terdapat kekurangan di bahagian serangan biarpun kita ada Mahali Jasuli, Kogileswaran Raj, Kumaahran, Khyril Muhymeen, tapi tidak cukup untuk menembusi benteng Penang.
“Bagaimanapun keputusan seri itu boleh dianggap memadai kerana beraksi di gelanggang lawan, walaupun sasaran kita untuk mendapatkan kemenangan,” katanya kepada Arena Metro.
PJ City merekodkan keputusan seri ketiga setakat ini selepas diikat 1-1 dengan skuad Harimau Kumbang dalam aksi di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga ke lapan carta liga dengan mengumpul sembilan mata.
Penang pula kekal berada di dasar liga apabila belum mencatat sebarang kemenangan selepas melalui sembilan perlawanan.
Mengulas lanjut, Rajendran berkata usaha akan dilakukan bagi memperkasakan lagi skuad berkenaan terutama di bahagian serangan dalam mendepani cabaran akan datang khususnya menentang Johor Darul Ta[zim (JDT) di tempat lawan minggu hadapan.
Tegas beliau, PJ City perlu menganjak dari kedudukan sekarang ke posisi lebih baik dalam carta, untuk memastikan sasaran kekal dalam Liga Super musim hadapan tidak terjejas.