“Rajkowski Sengaja Kacau Tumpuan, Cuba Buat Saya Marah” – Shah Firdaus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga acara pecut individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Rabu.

Namun kemaraan mereka tidak hadir dengan mudah apabila terpaksa mengharungi keseluruhan lima perlumbaan, termasuk dua kali pusingan repecharge.

Pusingan repecharge adalah ‘talian hayat’ kepada pelumba yang tewas pada setiap pusingan, dalam kata lain peluang kedua untuk mereka mara ke pusingan berikutnya.

Dalam hal ini, Azizulhasni atau the pocketrocketman tewas pusingan pertama kepada Jason Kenny (Great Britain) tetapi layak ke pusingan kedua selepas mengungguli pusingan repecharge dengan menewaskan Kevin Quintero (Colombia) dan Ethan Mitchell (New Zealand).

Manakala Shah Firdaus pula tewas kepada Harrie Lavreysen dari Belanda di pusingan pertama tetapi layak ke pusingan kedua selepas menewaskan Hugo Barette (Canada) dan Matheus Rudyk (Poland) dalam pusingan repechage.

Berita berkaitan : “Kisah Percintaan Saya Dan Dhabitah Kisah Lama”

Situasi sama dilalui di pusingan kedua, apabila Azizulhasni terlebih dahulu tewas kepada Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago sebelum mengesahkan slot di pusingan ketiga dengan mengatasi Nick Wamess (New Zealand) di repecharge.

Shah Firdaus pula tewas di tangan Jack Carlin (Great Britain) namun mara selepas mengatasi Patryk Rajkowski di pusingan repecharge yang terpaksa diadakan dua kali berikutan pelumba Poland itu terjatuh selepas berlakunya pelanggaran antara kedua-dua mereka.

“Dia cuba untuk main perang psikologi sebenarnya dengan saya, dia cuba nk buat saya marah, tapi saya tetap tenang. Malah sebelum perlumbaan semula, dekat trek kalau perasan dia macam nak makan saya, tapi saya tak layan.

“Masa perlumbaan dia jadi macam agresif sikit, saya tak tahu apa motif dia, kemudian dia (banyak kali) cuba himpit dan buat saya hilang imbangan tapi syukur saya boleh kawal basikal saya,” ujar Shah Firdaus mengenai pertembungan tegang dengan Rajkowski.

Aksi pusingan ketiga yang berlangsung Khamis akan menyaksikan Azizulhasni berdepan wakil Belanda, Jeffrey Hoogland, manakala Shah Firdaus pula bakal berdepan sekali lagi dengan Harrie Lavreysen.

Foto ehsan : Free Malaysia Today

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.