Sejak beberapa tahun kebelakangan, prestasi Arsenal merudum dengan teruk malah reputasi mereka sebagai salah satu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris semakin goyah.
Pasukan ini sukar memancing pemain-pemain hebat berprofil tinggi, sentiasa tewas kepada pasukan yang lebih banyak duit dan juga reputasi lebih gah seperti Liverpool, Manchester United dan Chelsea.
Namun seperkara yang boleh Arsenal banggakan, ramai pemain pernah menjulang Piala Dunia, piala keagungan bolasepak ketika bersama The Gunners berbanding pasukan gergasi EPL yang lain.
Seramai tujuh pemain pernah menjulang Piala Dunia sebagai pemain Arsenal disusuli Chelsea (6); Liverpool (5); Manchester United (4); Tottenham Hotspur (3) dan Manchester City (1).
Tujuh pemain tersebut, disusun mengikut tahun mereka menjulang Piala Dunia adalah seperti berikut :
George Eastham merupakan anggota skuad juara Piala Dunia England 1966. Dia telah membuat lebih 200 penampilan bersama Arsenal dari 1960 – 1966.
Emmanuel Petit dan Patrick Vieira pula membantu Perancis menewaskan Brazil untuk menang Piala Dunia buat kali pertama di laman sendiri.
Kejayaan itu hadir selepas Petit dan Vieira menjadi tonggak Arsenal menjulang kejuaraan berganda EPL dan Piala FA dua bulan sebelumnya.
Menariknya, Petit menjaringkan salah satu gol dalam kemenangan 3-0 pada aksi final. Petit mewakili Arsenal dari 1997 – 2000 manakala Vieira pula dari 1996 – 2005.
Pada 2010, Cesc Fabregas memahat nama sebagai pemenang Piala Dunia selepas Sepanyol menewaskan Belanda 1-0 dalam aksi final.
Fabregas tidak bermain dalam kesebelasan utama sepanjang pertandingan dan dimasukkan sebagai gantian sebanyak empat kali termasuk dalam aksi final yang mana dia melakukan assist kepada Andres Iniesta, penjaring gol tunggal perlawanan.
Fabregas telah bersama Arsenal selama tujuh musim dari 2003 – 2011.
Tiga pemain terakhir Arsenal menjulang Piala Dunia adalah Mesut Ozil, Lukas Podolski dan Per Mertesacker bersama Jerman pada 2014, menerusi kejayaan menewaskan Argentina.
Ozil bermain dalam kesemua tujuh perlawanan malah muncul salah seorang pemain terbaik pertandingan tatkala Podolski dan Martesacker lebih banyak bertindak sebagai simpanan.
Ozil masih kekal di Arsenal saat artikel ini ditulis, Mertesacker sudah berubah peranan menjadi jurulatih akademi manakala Podolski meninggalkan Arsenal pada 2015.
Ini pula pemain yang menjulang Piala Dunia bersama kelab gergasi EPL lain.
Chelsea : Peter Bonetti (England 1966); Frank Lebouef, Marcel Desaily (Perancis 1998); Ngolo Kante, Olivier Giroud (Perancis 2018)
Liverpool : Roger Hunt, Ian Callaghan, Gerry Byrne (England 1966); Fernando Torres, Pepe Reina (Sepanyol 2010)
Manchester United : Bobby Charlton, Nobby Stilles, John Connelly (England 1966); Paul Pogba (Perancis 2018)
Spurs : Jimmy Greaves (England 1966); Ossie Ardiles (Argentina 1978); Hugo Lloris (Perancis 2018)
City : Benjamin Mendy (Perancis 2018)
Foto kredit : Zimbio