Bekas pemain Liga Malaysia yang pernah berkelana di New Zealand, Ariff Zulkifly, mempunyai sedikit teguran terhadap penyerang skuad kebangsaan Syafiq Ahmad berhubung fesyen rambutnya.
Ariff mengakui dia cukup mengagumi Syafiq Ahmad malah menyifatkan baka pemain sepertinya lahir hanya 40 ke 50 tahun sekali, namun dia bimbang pemain itu menjadi mangsa ‘sumpahan rambut kuning’.
Dia yang pernah menyarung jersi Island Bay United FC (New Zealand) dan Real Mulia FC (Liga FAM) mempunyai justifikasi dan hujah tersendiri untuk mengatakan sedemikian.
“Anda diberikan penghormatan untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan, jelas ianya tanggungjawab yang berat. Namun ianya tidak mengejutkan kerana ‘work rate’ anda sememangnya menakjubkan, keberanian melakukan cubaan jarak jauh, kesempurnaan teknik tandukan dan kekuatan stamina dalam melakukan ‘pressing’ amat benar menghairahkan kami para penyokong.
“Tetapi, tolonglah Syafiq janganlah anda tetap kekal dengan fesyen berambut kuning tersebut kerana sejarah telah membuktikan ramai pemain berbakat yang memilih rambut kuning sebagai fesyen kecundang akhirnya.
“Amirul Hadi Zainal, superb player. Kariernya tidak bertahan lama kerana memilih fesyen rambut kuning.
“Safiq Rahim, kapten paling berjaya di JDT secara tiba-tiba berpindah ke Melaka United, bertukar fesyen rambut kuning cuba menghidupkan semula karier gemilangnya di JDT tapi momentum kehidupan tidak akan selalu memihak kepadanya.
“Akhyar Rashid, penuh dengan bakat. Tapi bergelut untuk kekal konsisten, penuh kesungguhan namun banyak isu luar padang,” ujarnya.
Ariff turut memberikan beberapa contoh lain melibatkan personaliti sukan antarabangsa, “Kalau di peringkat internasional pula, James Foden berambut kuning tiba-tiba kantoi bawa balik perempuan kat hotel sewaktu dalam kem latihan.
“Dalam sukan UFC pula, (MMA) Charles Oliveira gagal menjadi professional yang sepatutnya apabila tidak dapat memenuhi undang-undang had berat badan pertandingan, pun memilih fesyen rambut kuning.
“Ingat, kalian semua adalah professional yang dibayar dengan lumayan. Anda menjadi contoh kepada generasi pemain muda lain yang sedang meningkat naik. Nak berfesyen takde hal, cuma jangan pilih konsep rambut lelaki murahan.
“Contohi Sadio Mane, pemain Liverpool gajinya setahun dah boleh beli semua team di Malaysia kekal merendah diri, membangunkan hospital, sekolah, masjid dan infrastruktur penting lain di kampungnya. Malah dengan tenang, boleh bermain bola sepak secara santai dalam selut di kampung halamannya. Fesyen rambut botak mata 3, adalah sikit buat ‘longkang’ kat bahagian tepi.
“Anda adalah pemain bola sepak yang mewakili negara, bukannya artis Hero Remaja. Jemputlah doa dan persepsi yang baik dari jutaan rakyat Malaysia yang mengharapkan sesuatu dari anda.”
Syafiq Ahmad sejak awal musim ini bermain dengan Kedah secara pinjaman namun selepas berakhir minggu antarabangsa dia kembali semula ke kelab asalnya Johor Darul Takzim.
Adakah Syafiq akan menjadi seorang lagi mangsa sumpahan rambut kuning seperti ditakuti oleh Ariff, atau dia boleh membuktikan semua itu tidak akan menjejaskan kariernya yang kembali bergemerlapan ketika ini?