Ranking Harimau Malaya meningkat mendadak, kecaman Zamsaham dianggap tidak berfakta

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kenyataan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bahawa beliau terkejut dengan kedudukan skuad bolasepak kebangsaan dalam ranking dunia, nampaknya menarik perhatian penganalisis sukan tanah air, Dr Pekan Ramli.

Dalam luahan menerusi akaun facebook miliknya baru-baru ini, Norizam atau Zamsaham berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.

“Bola Malaysia pada tahun 1993 berada pada World Ranking (ranking dunia) 75. Palestin mempunyai ranking yang lebih baik dari kita, Thailand dan Vietnam semakin maju ranking mereka. Sukan bola sepak masih sukan no 1 rakyat Malaysia, tetapi ranking dunia kita sepatutnya semakin baik, bukan sebaliknya. Maafkan saya sebab baru tahu ranking bola sepak Malaysia 153,” katanya.

Kenyataan itu disangkal Pekan Ramli yang juga bekas pengulas bolasepak, dengan mempertahankan bahawa ranking dunia skuad kebangsaan negara sedang meningkat dan dalam momentum yang baik, bukan menurun.

“Jika dilihat sejak 1993 ranking skuad kebangsaan sememangnya menurun tetapi sejak 2018 hingga 2021, ranking Harimau Malaya terus meningkat mendadak iaitu dari 178 kepada 153 dalam tempoh dua ke tiga tahun sahaja.

“Jadi untuk mengatakan ranking skuad kebangsaan menurun adalah tidak tepat serta tiada fakta.

“Lebih-lebih lagi berdasarkan sistem kiraan mata terbaru FIFA dalam ranking, diakui sukar untuk kita melonjak naik terus ke 100 peningkatan misalnya, itu mustahil,” katanya yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pekan Ramli mengatakan, semua pihak terutama Norizam perlu berlandaskan fakta dan realistik dengan situasi semasa.

“Buat masa ini sememangnya skuad kebangsaan tiada perlawanan disebabkan situasi tidak menentu, tetapi jika dilihat dalam tempoh 2018 hingga 2021, ranking Harimau Malaya naik 14 kedudukan terutama berdasarkan perlawanan Pra Kelayakan Piala Dunia.

“Dalam soal ini Norizam dinasihatkan tidak boleh cepat mengecam ranking skuad kebangsaan, jangan ‘pukul anak, sindir menantu’.

“Secara realistiknya, berdasarkan peningkatan ranking ini saya melihat skuad kebangsaan dalam landasan yang tepat untuk mencapai misi F:30 dan dengan usaha untuk terus tingkatkan prestasi dan perbaiki lagi mutu perlawanan, tidak mustahil ranking kita akan terus naik,” katanya.

Pekan Ramli juga mengingatkan agar semua pihak terus kekal positif, bekerjasama dan memandang ke depan dalam memastikan peningkatan skuad kebangsaan.

“Kita tidak boleh hidup dalam bayangan sejarah silam, kita perlu lihat pada apa yang ada sekarang ini dan bekerjasama dalam meningkatkan momentum Harimau Malaya,” ujarnya.

Sebagai makluman, kritikan Zamsaham terhadap ranking Harimau Malaya serta pendedahan mengenai beberapa perkara lain membabitkan bayaran hak penyiaran dan elaun pengadil berpunca daripada perselisihan faham yang tercetus gara-gara kenyataan kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berhubung pemotongan mata ke atas pasukan itu jika tidak menyelesaikan tunggakan gaji.

Foto ehsan: NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.