Rashid Sidek akhiri gemilang Anak-Anak Sidek dengan gangsa olimpik dan ranking no1 dunia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sebelum ini, Labola Malaya telah menyiarkan kisah-kisah kegemilangan Rahman Sidek serta Razif dan Jalani Sidek yang menjulang nama negara di mata dunia kira-kira tiga dekad lalu.

Pelengkap kepada pembabitan cemerlang Anak-Anak Sidek dalam arena badminton, Rashid Sidek yang turut mengecap pelbagai kejayaan gemilang sepertimana abang-abangnya termasuklah pernah menduduki ranking nombor satu dunia.

Bintang Rashid atau popular dengan watak Adul dalam Siri Animasi Anak-Anak Sidek, bersinar seawal usia 12 tahun apabila muncul pemain termuda menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan pada 1980 – setahun selepas bertukar daripada acara beregu ke perseorangan.

Rashid Sidek ranking no.1 Rashid Sidek akhiri gemilang Anak-Anak Sidek dengan gangsa olimpik dan ranking no1 dunia

Nama Rashid mula menjadi sebutan hebat selepas menjuarai Kejohanan Kebangsaan B-18 menewaskan Kwan Yoke Meng pada 1984, di mana ketika itu dia masih menuntut sebagai pelajar Tingkatan 3 di Victoria Institution.

Kecemerlangan mendominasi setiap kejohanan peringkat umur, pantas mengangkat namanya selaku ‘hot prospect’ dengan reputasi yang wajar disegani, tidak boleh dipandang enteng pihak lawan.

Rashid terus mengorak langkah gemilang pada 1985 apabila mara ke final Kejohanan Remaja Asia namun tewas kepada Alan Budi Kusuma dari Indonesia.

Selepas kejayaan membanggakan itu, Rashid tidak lagi menoleh, menjuarai Terbuka Selangor seterusnya gelaran senior pertama di Terbuka Sarawak, mengetepikan barisan pemain berstatus bintang termasuk abangnya Misbun Sidek dan Foo Kok Keong.

Sejurus tamat Sijil Penilaian Menengah (SPM), Rashid diserap ke dalam skuad Projek 1988/1990 – misi merampas semula Piala Thomas. Rashid membalas kepercayaan dengan menampilkan aksi hebat, menewaskan dua jaguh Indonesia di separuh akhir – Ardy Wiranata (1988) dan Alan Budi Kusuma (1990) – namun Malaysia tewas di kedua-dua aksi final kepada China 1-4.

Meniti era gemilang, namun dilabel ‘jaguh kampung’

Kemuncak karier Rashid adalah di antara 1990-1992, pada usia 22 tahun, dia memenangi pingat emas Sukan Komanwel 1990 menewaskan Foo Kok Keong di Auckland, selain pingat gangsa Sukan Asia, malah membuktikan kejaguhan selaku pemain nombor satu negara dengan menjuarai Terbuka Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1990, 1991 dan 1992.

Namun kegagalannya untuk menyerlah di kejohanan luar menyaksikannya dilabel ‘jaguh kampung’. Apapun ia tidak cukup untuk mengoncang kredibilitinya sebagai pemain berkelas dunia terkemuka.

Pada final Piala Thomas 1992, Rashid menewaskan Ardy Wiranata, menghadiahkan Malaysia mata pertama dalam laluan merangkul kejuaraan kelima hasil kemenangan dramatik 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia – kejuaraan pertama dalam tempoh 25 tahun dan selepas 28 tahun berlalu ia masih kekal yang terakhir hingga ke hari ini.

“Tamparan besar ketika itu apabila kita tewas perlawanan pertama peringkat kumpulan kepada Korea Selatan (2-3), memang moral down tetapi kekalahan itulah menjadikan kami bangkit lebih kuat selepas itu. Ia adalah mengenai kerjasama sepasukan, itulah kunci utama, bukan dengan meletak sandaran pada mana-mana pemain individu untuk menyumbang mata. Bunyinya agak klise, tapi itu adalah adat permainan berpasukan.

“Sentiasa positif dan suportif, jangan ada tuding menuding jari, sebab kau kalah kita hilang mata dan sebagainya. Kami berpegang kepada kepercayaan, percaya satu sama lain dan berjaya melakukannya,” kata Rashid.

Rashid Sidek julang Piala Thomas Rashid Sidek akhiri gemilang Anak-Anak Sidek dengan gangsa olimpik dan ranking no1 dunia

Tahun yang sama menyaksikan Rashid menjuarai Grand Prix Dunia menewaskan Alan Budi Kusuma serta Kejohanan Asia, seterusnya kekal di kedudukan lima teratas dunia.

Prestasinya mula merudum untuk tempoh tiga tahun selepas itu. Setelah gagal memenangi sebarang kejuaraan pada 1993, Rashid sekadar berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel pada 1994 di Kanada dengan menewaskan Ong Ewe Hock, dan muncul juara Terbuka Brunei 1995.

Bangkit raih gangsa Olimpik, lonjak no.1 dunia

Bagaimanapun, Rashid bangkit garang pada 1996, meletakkan dirinya di kelompok tiga pemain terbaik dunia, apabila muncul juara Piala Asia dan Terbuka Jerman, seterusnya mara ke final All England sebelum tewas kepada Paul Erik Hoyer Larsen dari Denmark.

Kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 selepas menewaskan pemain Indonesia yang juga juara dunia 1995, Heryanto Arbi 5-11, 15-11, 15-6 pastinya kekal sebagai detik paling manis dalam karier sepanjang lebih 16 tahun Rashid sebagai pemain professional – apatah lagi dia menumbangkan pemain pilihan pertama Joko Suprianto dari Indonesia dalam laluan ke separuh akhir sebelum tunduk kepada pemain China Dong Jiong.

Selepas bergelar pemain nombor satu dunia pada 1997, Rashid mula memberi ruang kepada pemain seperti Wong Choon Hann, Yong Hock Kin dan Roslin Hashim untuk meningkat naik, dan bersara pada 2000, dengan pencapaian terakhirnya adalah Naib Juara Terbuka Korea.

Selepas bersara sebagai pemain, Rashid pernah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, antara pencapaiannya adalah membawa Lee Chong Wei memenangi pingat perak Olimpik pada 2012.

Foto kredit : NSTP, World Badminton

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.