Rawilson dan Azizzan diketepikan, dipercayai kerana bersuara mengenai tunggakan gaji

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gelora di kem Sabah FC nampaknya belum lagi reda walaupun Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Khairul Firdaus Akbar Khan telah membuat penafian mengenai insiden para pemain memboikot sesi latihan pada Khamis kerana masalah tunggakan gaji tiga bulan.

Dua pemain tonggak pasukan itu iaitu kapten Rawilson Batuil (pertahanan) dan Azzizan Nordin (tengah) difahamkan telah diketepikan daripada skuad yang terbang ke Pulau Pinang untuk menentang Penang FC pada Ahad ini, dipercayai sebagai ‘hukuman’ kerana bersuara mengenai isu tunggakan gaji yang viral itu.

“Memang betul mereka (Rawilson dan Azzizan) ditinggalkan, ia ada kaitan dengan isu gaji tertunggak sebelum ini. Mereka juga antara yang bersuara mengenainya (isu gaji) sehingga sesi latihan pasukan dibatalkan semalam (Khamis),” kata sumber kepada Arena Metro.

“Baru sebulan (gaji yang tertunggak) dibayar, sebulan lagi belum masuk,” tambah sumber itu lagi.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menyenaraikan beberapa pemain muda seperti Gerald Gadit, Mohd Hizaz Lokman, Mohd Hanafi Tokyo Abdul Hashim, dan Mohd Nureikhan Isa Japar sebagai pengganti.

Berdasarkan info awal yang viral di media sosial kumpulan penyokong, sesi latihan skuad Sabah FC yang sepatutnya bermula jam 4 petang dibatalkan selepas perbincangan hangat di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan. Pemain-pemain dikatakan hilang sabar dengan janji palsu pengurusan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Baca : : “Ingatkan main-main bawa masuk El Hadji Diouf,” kata Azzizan Nordin

Ia juga merungkai punca siri prestasi hambar Sabah FC dalam saingan Liga Super 2021 di mana setakat ini mereka hanya mencatat satu kemenangan (ke atas Terengganu FC) dan dua keputusan seri dalam tujuh perlawanan.

Lain pula kata Khairul Firdaus apabila dia menyatakan pemain-pemain sebenarnya dibenarkan pulang berehat kerana sesi latihan selesai awal, selain menegaskan bahawa gaji tidak pernah tertunggak lebih daripada sebulan.

Begitupun, dengan tindakan yang diambil ke atas Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin ini, ia sekadar mengiakan bahawa apa yang viral itu sememangnya berlaku, benarlah kata pepatah ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’.

Ironinya, isu gaji di kem Sabah FC bukan satu perkara baru, pada tahun 2018 pemain-pemain pasukan itu difahamkan tidak menerima gaji beberapa bulan sehingga  menyebabkan mereka beraksi lesu dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Perak.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.