Rayuan kad merah : Nasib berbeza David Luiz, Jan Bednarek

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nasib  berbeza dialami pertahanan Arsenal, David Luiz dan pertahanan Southampton, Jan Bednarek berhubung rayuan kad merah yang dikemukakan kelab masing-masing.

Rayuan Arsenal untuk membatalkan kad merah yang dilayangkan kepada David Luiz ketika perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada Rabu tidak berjaya manakala rayuan oleh Southampton pula menyaksikan kad merah Bednarek pada perlawanan menentang Manchester United ditarik balik.

David Luiz diperintahkan keluar padang beberapa saat sebelum rehat dalam aksi di Molineux selepas pengadil, Craig Pawson, meneliti video bantuan pengadil (VAR) secara pantas lalu menghakimi kekasaran pertahanan veteran itu ke atas Willian Jose.

Walaupun pandangan dari setiap sudut menampakkan berlaku hanya ‘minimal contact’ dan boleh dikatakan lebih kepada pelanggaran – itupun secara tidak sengaja, pengadil kekal dengan keputusannya.

Ruben Neves kemudian memanfaatkan sepakan penalti itu bagi memadam jaringan pembukaan Nicolas Pepe sebelum Joao Moutinho mencetak gol kemenangan yang menyaksikan The Gunners tewas pertama kali dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Arsenal juga terpaksa mengakhiri permainan dengan sembilan pemain selepas penjaga gol, Bernd Leno, turut menerima padah dibuang padang kerana mengeluarkan bola menggunakan tangan di luar kotak penalti.

Keputusan FA England untuk mengekalkan kad merah Luiz nyata mengejutkan memandangkan rata-rata pemerhati termasuk bekas pengadil menganggap ia satu keputusan yang silap oleh Craig Pawson.

“FA mengesahkan bahawa kad merah David Luiz ketika menentang Wolverhampton Wanderers adalah kekal. Kami telah bekerja keras untuk membatalkan kad merah itu. Kami telah mengemukakan rayuan kepada FA tetapi kecewa kerana ia tidak berjaya.

“Kami akur dengan keputusan FA itu dan akan meneruskan persiapan kami menentang Aston Villa,” demikian kenyataan rasmi kelab London itu.

Southampton pula pastinya gembira dengan pembatalan kad merah Jan Bednarek, selepas dimalukan 0-9 di Manchester United.

Pertahanan itu yang turut menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan itu diarah meninggalkan padang oleh pengadil, Mike Dean, selepas dia menjatuhkan Anthony Martial ketika kedudukan 0-6. Peliknya kekasaran Bednarek juga ‘minimal contact’ dan lebih kepada pelanggaran – dua situasi sama tapi keputusan ‘double standard’?

Ini bermakna Bednarek boleh diturunkan ketika Southampton turun menentang Newcastle United, hujung minggu ini.

The Saints turut menafikan laporan bahawa mereka secara rasminya telah meminta Mike Dean dan pegawai keempat, Lee Mason, supaya tidak lagi terlibat dalam perlawanan membabitkan mereka.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.