“Reaksi Brendan Gan tunjukkan dia buat kesalahan,” kata Yusoff Mahadi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Vietnam ketika menentang Harimau Malaya, mungkin dilihat sebagai penalti kontroversi yang tidak sepatutnya diberikan.

Insiden pada minit ke-81 itu boleh dikatakan menjadi detik penting yang merubah skrip perlawanan, kapten pasukan Que Ngoc Hai menyempurnakan penalti tersebut membolehkan Vietnam menang 2-1 sekaligus menutup peluang Harimau Malaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Rata-rata penyokong berpendapat pengadil dari Jepun, Ryuji Sato tertipu dengan lakonan pemain Vietnam, Nguyen Van Toan yang terjatuh di dalam kotak penalti meskipun tidak ada sentuhan dilakukan pemain negara Brendan Gan.

Malah ulang tayang ketika siaran langsung juga tidak dapat menunjukkan dengan tepat sama ada Brendan melakukan sentuhan atau tidak ke atas Van Toan, kelihatan seolah-olah pemain itu terjatuh dengan sendiri.

Namun, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi berpendapat, reaksi serta body-language (gaya badan) Brendan Gan selepas penalti itu diberikan, seolah menunjukkan bahawa keputusan pengadil adalah tepat.

“Memang kita tahu ada yang kata bahawa ia bukan penalti. Pada saya sendiri, kalau tengok kepada Brendan Gan punya body language selepas pengadil memberikan penalti itu dia duduk. Maknanya pada saya memang ada sentuhan daripada Brendan.

“Sama ada sentuhan itu wajar diberikan penalti atau tidak saya tak boleh komen. Tapi dari segi reaksi Brendan Gan yang duduk selepas pengadil memberikan penalti, ia menunjukkan dia sedar yang dia ada melakukan kesalahan.

“Tapi kita akan melihat secara keseluruhan, bahagian teknikal kita akan menilai, kalau ia penalti yang tak wajar, tengoklah mungkin kita buat bantahan. Tetapi kita juga perlu tahu penalti adalah penalti, perlawanan pun sudah habis, kalau kita buat bantahan sekalipun tidak akan mengubah apa-apa,” kata Yusoff Mahadi pada sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Sementara itu, penyokong-penyokong Vietnam mempertahankan pemain mereka dengan berkongsikan di media sosial video mengenai insiden penalti itu dari sudut lain, yang mana kelihatan lebih jelas ada sentuhan minimal dari Brendan Gan.

Pada perlawanan itu Vietnam mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi tandukan Nguyen Tien Linh sebelum Guilherme De Paula mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.