Meskipun Negeri Sembilan tewas kepada Johor Darul Takzim gara-gara jaringan minit ke-101 oleh Fernando Forestieri, tiada rungutan daripada K.Devan mengenai 10 minit masa kecederaan yang diberikan pengadil.
Negeri Sembilan yang beraksi di laman sendiri di Paroi, begitu hampir untuk menamatkan aksi dengan meraih satu mata namun tindakan pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin memberikan 10 minit masa kecederaan membawa tuah buat JDT.
Ketika perlawanan begitu hampir menuju keputusan seri tanpa jaringan, Forestieri melakukan percubaan jarak jauh yang gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi, dan selepas itu wisel penamat ditiup sekaligus menghadiahkan kemenangan dramatik buat skuad Benjamin Mora.
Ia turut meleburkan rekod tanpa kalah skuad hoben jang hoben dalam kempen Liga Super musim ini, namun K.Devan memilih untuk bersikap profesional dan menerima kekalahan dengan terbuka walaupun penyokong serta pemain mempertikai keputusan pengadil.
“Sebelum perlawanan ramai kata kita akan main parking bas, tapi kita tidak buat begitu sebaliknya menunjukkan keinginan mahu bermain bola. Pemain saya menyerap tekanan dengan baik dan menunjukkan karakter sebenar mereka, saya tabik usaha yang ditunjukkan setiap pemain apatah lagi kita tahu kualiti yang ada pada JDT.
“Bukan hanya lawan JDT, tetapi memang setiap perlawanan kita bermain seperti ini, saya tabik dan bangga dengan mereka. Kita telah bertahan dengan baik untuk 100 minit dan turut mencipta peluang, bezanya kita tidak menyudahkan peluang manakala JDT menyudahkannya. Tahniah kepada JDT atas kemenangan,” ujar K.Devan pada sidang media selepas perlawanan.
Tambahnya apa yang ditunjukkan Negeri Sembilan dalam Liga Super setakat ini adalah cukup mengejutkan mengambil kira mereka adalah pendatang baru, dan mengakui deretan keputusan positif yang dilakar menambahkan keyakinan dalam kalangan pemain.
Bagi JDT, ia adalah kemenangan kelima berturut-turut mereka dalam Liga Super musim ini, dalam masa sama ini juga adalah kali pertama skuad harimau selatan memenangi kesemua lima perlawanan pertama.