“Rehat Panjang Rencatkan Momentum” – Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Sri Pahang, Dato’ Dollah Salleh mengakui momentum dan rentak pasukan sedikit terjejas gara-gara berehat terlalu lama, iaitu selama 20 hari sejak aksi terakhir menentang Terengganu pada 21 Ogos lalu setelah pasukannya tewas 0-2 kepada KL City pada Ahad.

Malah beliau juga berpendapat pasukannya tewas dalam aksi ini kerana faktor pengalaman yang jauh memihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak itu yang baru sahaja mengesahkan tempat di final Piala AFC Antara Zon pada minggu lalu.

“Memang, malam ini kita serba tidak menjadi, sebelum ini kita berdepan jadual padat, tetapi kemudian kita telah berehat terlalu lama, dekat tiga minggu tiada game hanya berlatih ia menganggu momentum ditambah dengan keadaan padang becak dan basah, pemain tidak dapat sesuaikan diri dengan keadaan tersebut.

“Selain itu, kita juga tahu KL City pasukan berpengalaman, saya memang sudah ingatkan kepada pemain bukan senang lawan mereka, pengalaman mereka bermain di Piala AFC dan sedang berada dalam momentum yang baik, jadi kita agak kalah di situ dengan KL City,” ujar Dollah Salleh selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Darulmakmur itu, jaringan oleh Haqimi Azim Rosli pada minit ke-31 dan Zhafri Yahya pada minit ke-72 menghadiahkan KL City tiga mata.

Kekalahan kesembilan musim ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga kesembilan dengan 21 mata, dengan hanya empat perlawanan berbaki untuk musim berakhir. 

Sri Pahang selepas ini akan berehat pula selama 19 hari sebelum bertandang ke Kuching untuk pertembungan dengan pasukan Sarawak United pada 1 Oktober. 

Dalam pada itu, Bojan Hodak pula memuji Haqimi Azim Rosli yang membalas kepercayaannya menurunkan penyerang muda itu dalam kesebelasan utama.

“Sangat penting untuk kita menang perlawanan ini walaupun agak penat sedikit bermain dengan keadaan padang yang basah.

“Separuh masa kedua mereka bermain dengan lebih baik dan saya gembira dengan pasukan terutamanya Haqimi kerana ini kali kedua dia bermain dan benar-benar menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Kami meminta dia untuk menggunakan kelajuan yang dia ada dan dia sebenarnya nak menjaringkan lagi gol untuk pasukan. Ini penting untuknya bina keyakinan dan meningkatkan lagi kualiti permainan”, jelasnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.