Rekod menentang Arsenal yang pastinya menakutkan Manchester United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertembungan antara Arsenal dan Manchester United di Emirates pada lewat malam Sabtu (1.30 pagi Ahad) menjadi perlawanan tumpuan yang dinantikan peminat bolasepak Liga Perdana Inggeris minggu ini.

Mana tidaknya, pertemuan antara kedua-dua pasukan gergasi EPL ini akan berlangsung ketika kedua-dua pasukan sudah kembali kepada prestasi mengagumkan dan berada dalam tahap keyakinan terbaik selepas mengharungi permulaan musim yang sangat mengecewakan.

Manchester United dari sebuah pasukan yang tewas 4 kali dalam 7 perlawanan pertama bangkit untuk meletakkan diri mereka sebagai pencabar kejuaraan manakala Arsenal pula dari sebuah pasukan yang bergelut di zon relegasi selepas tewas 8 kali dalam 14 perlawanan pertama, kini sudah memecah masuk ke dalam kelompok 10 teratas.

Red Devils bimbingan Ole Gunnar Solskjaer hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan liga terakhir manakala skuad the gunners bimbingan Mikel Arteta pula menang lima daripada enam perlawanan terakhir mereka.

Sudah tentunya ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit dan menarik untuk disaksikan tatkala kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan penting – United bagi mengukuhkan peluang mencabar kejuaraan manakala Arsenal pula mahu terus menghidupkan peluang memburu kedudukan empat teratas.

Melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga, kelebihan tampak memihak kepada Arsenal, mereka tidak tewas kepada United dalam lima perlawanan terakhir dan menang tiga daripadanya termasuklah ketika bertembung di Old Trafford pada bulan November lalu.

Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Pierre Emerick Aubameyang menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

Arsenal juga menang ketika mereka kali terakhir bertemu di Emirates pada 2 Januari 2020 iaitu 2-0 menerusi jaringan Nicolas Pepe dan Sokratis Papastathopoulos, manakala satu lagi kemenangan adalah pada 11 Mac 2019, juga 2-0 menerusi jaringan Granit Xhaka dan Pierre Emerick Aubameyang.

Dua lagi perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri iaitu 1-1 pada 1 Oktober 2019 dan 2-2 pada 6 Disember 2018.

Rekod Pertemuan dalam Liga Rekod menentang Arsenal yang pastinya menakutkan Manchester United
Rekod pertemuan Arsenal – Man Utd dalam EPL

Dengan lima pertemuan liga terakhir tidak langsung menyebelahi mereka, ini pastinya menghadirkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan penyokong United – kebimbangan bahawa Arsenal akan menambah duka mereka selepas kekalahan di tangan pasukan tercorot Sheffield United beberapa hari lalu.

Sama ada United akan kembali ke landasan kemenangan untuk membuktikan reputasi mereka sebagai pasukan yang wajar disegani, atau Arsenal akan melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan, sama-sama kita saksikan kesudahan pertembungan sensasi ini.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.