Resipi yang membuatkan Dollah Salleh digelar jurulatih magis

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak semua pemain yang hebat akan berjaya sebagai jurulatih, tetapi dalam hal Dollah Salleh, dia bukan sahaja pemain yang hebat pada zamannya, tetapi berjaya menempa nama sebagai jurulatih yang berjaya dan tanpa ragu merupakan salah seorang jurulatih berprofil tinggi Liga Malaysia.

Bayangkan, tahun pertama sebagai jurulatih dia sudahpun menghadiahkan Piala Malaysia kepada MPPJ Selangor sekaligus menjadikan mereka sebagai kelab pertama untuk menjulang trofi berprestij itu pada 2003, dan ia disusuli dengan Piala Sumbangsih dan trofi Liga Premier pada tahun berikutnya.

Disambar Selangor pada 2005, Dollah Salleh terus mengganas, apabila membawa Red Giants menjulang treble dengan memenangi Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia. Pada usia setahun jagung dalam bidang kejurulatihan, dia sudah digelar jurulatih dengan sentuhan magis. Apakah resipi yang membuatkan sentuhannya menjadi, ini perkongsian daripada Dollah Salleh sendiri.

“Ketika bergelar pemain, saya menerima tunjuk ajar daripada ramai jurulatih-jurulatih berpengalaman, antara jurulatih yang banyak mempengaruhi gaya kejurulatihan saya adalah jurulatih Sukan SEA 1989, Trevor Hartley.

“Beliau seorang yang kelakar dan mudah mesra, menyebabkan kami mengelarnya Benny Hill. Semasa di bawah kendalian Hartley, saya tidak pernah berasa bosan untuk berlatih, sentiasa enjoy dan bergaduh sesama sendiri di atas padang.

“Kemudian cara inilah yang saya bawa di dalam pasukan kendalian saya, saya terapkan suasana kekeluargaan dalam latihan, pemain saya anggap sebagai kawan atau anak.  Apabila saya bina pasukan, saya perlukan pemain yang bermain untuk jurulatihnya, dalam hal saya, pemain yang bermain untuk Coach Dollah.

“Jadi bila sampai ke tahap mereka bermain untuk Coach Dollah, saya jadi lebih yakin dan bersemangat serta menghargai sumbangan mereka. Ini adalah kunci kepada kejayaan saya, dari mula saya membimbing MPPJ hingga ke pasukan kebangsaan dan kini di Pahang. Ada yang cakap saya mempunyai magis, bagi saya itu rezeki dan kelebihan yang Tuhan bagi,” ujar Dollah Salleh.

Dollah Salleh Resipi yang membuatkan Dollah Salleh digelar jurulatih magis

Selepas meninggalkan Selangor pada 2008, Dollah Salleh bersama Shahzan Muda selama semusim sebelum membimbing Pahang, pasukan yang pernah diwakilinya pada tahun 90-an. Bersama Tok Gajah, Dollah Salleh membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia selepas 21 tahun pada 2013; menyertai PDRM FA pada 2014 dan membawa pasukan itu menjulang Liga Premier seterusnya layak ke Liga Super.

Susulan kejayaan demi kejayaan, dia dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya pada 2014 dan berjaya membawa pasukan negara muncul naib juara Piala AFF Suzuki, tewas agregat 3-4 kepada Thailand dalam aksi final, itupun kerana melepaskan dua gol pada 10 minit terakhir.

Beberapa keputusan buruk dicatat Harimau Malaya pada 2015 termasuk kekalahan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu, menyebabkan Dollah Salleh membuat keputusan meletak jawatan. Dia menyertai Perlis selama semusim dan kembali membimbing Pahang pada 2017 dan membawa pasukan itu menjuarai Piala FA 2018.

Pada tahun lalu, Dollah Salleh dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Malaysia di Anugerah Bolasepak Kebangsaan, memenanginya buat kali kedua selepas 2013.

Rujukan tambahan : Majalah Dunia Sukan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.