[Retro] Kisah Aidil Zafuan Diserang, Ditumbuk & Dipijak Halim Napi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aidil Zafuan Abdul Radzak diketahui sebagai pemain berprofil tinggi dan cukup berpengaruh dalam arena bolasepak tempatan.

Malah pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) itu juga merupakan kapten skuad kebangsaan dan pemain paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia.

Berita berkaitan : Aidil Zafuan, Pemain Paling Berjaya Dalam Liga Malaysia

Tetapi ketika di awal karier Aidil Zafuan, iaitu ketika usianya 22 tahun dan sedang membina nama bersama Negeri Sembilan, berlaku satu detik hitam yang pastinya tidak dapat dilupakan pemain itu sepanjang kariernya.

Kejadian yang berlaku pada tanggal 7 April 2009, ketika pertembungan separuh akhir Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di mana Aidil Zafuan diserang, ditumbuk dan dipijak oleh penjaga gol veteran yang dikenali dengan sifat panas baran, Halim Napi.

Tindakan Halim Napi itu juga dikatakan menjadi punca berlakunya rusuhan penyokong selepas tamat perlawanan dengan cermin stadium dipecahkan, sebuah van polis diterbalikkan serta dibakar, selain kerosakan pada lapan buah kereta.

Penjaga gol yang ketika itu berusia 37 tahun digantung serta merta oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum kemudiannya digantung tiga bulan serta didenda RM3,000 oleh FAM atas kesalahan menyerang Aidil Zafuan.

Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan ke atas Halim Napi atas insiden rusuhan penyokong kerana tiada bukti kukuh dia adalah punca berlakunya insiden di luar stadium itu.

Aidil Zafuan selepas daripada kejadian itu, mengakui trauma dan dia hampir mengambil tindakan undang-undang ke atas Halim Napi sebelum membuat keputusan untuk menyelesaikan perkara itu dengan budi bicara.

“Saya hormati Halim sebagai seorang pemain senior tapi saya tidak faham mengapa dia tergamak bertindak demikian kepada saya. Ini bukan kali pertama dia bertindak ganas, kesan dipijak masih dapat dilihat.

“Keadaan huru-hara di luar stadium mungkin tidak berlaku jika Halim tidak menyerang saya, kerana bagi saya tindakannya itu menyemarakkan lagi kemarahan penyokong Kelantan yang kecewa dengan kekalahan,” kata Aidil Zafuan sehari selepas insiden tersebut.

Halim Napi pula memberi sebab kenapa dia bertindak sedemikian dan menegaskan dia tidak akan memohon maaf kepada Aidil Zafuan atau memaafkan pemain itu atas apa yang berlaku.

“Saya dihina dengan kata-kata kesat dan dia (Aidil Zafuan) turut membuat isyarat tangan berunsur penghinaan dan provokasi terhadap saya,” ujarnya.

Tambah Halim Napi, perbuatan Aidil Zafuan itu mencabar maruah dan harga dirinya, apatah lagi tindakan itu turut disaksikan penyokong.

Dia juga menasihatkan Aidil Zafuan supaya menghormati pemain yang lebih senior daripadanya dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kata-kata yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Saya harap selepas ini, dia menunjukkan sikap hormat bukan saja kepada pemain senior, tetapi juga terhadap pemain lain walaupun dia seorang pemain kebangsaan. Saya juga pernah bermain untuk skuad kebangsaan.”

Menceritakan apa yang berlaku sehingga tercetusnya insiden berkenaan, Halim Napi berkata, ia berpunca ekoran pelanggaran antaranya dengan penyerang lawan yang juga kembar Aidil Zafuan, Zaquan Adha ketika perlawanan menghampiri penghujung aksi.

“Dalam situasi perebutan bola 50-50 itu, kami secara tidak sengaja berlaga sesama sendiri, tetapi Aidil pula yang masuk campur sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya,” katanya yang pernah beraksi bersama Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sepanjang lebih 15 tahun kariernya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.