Rezal Zambery Idam Dakap Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan kepadanya untuk mengemudi pasukan itu bagi baki saingan musim ini menggantikan Marco Ragini.

Pengendali muda berusia 43 tahun itu memimpin Kelantan FC dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Premier dan membawa mereka menamatkan saingan di kedudukan keenam seterusnya layak ke TM Piala Malaysia 2021.

Rezal Zambery menyifatkan ia sebagai satu pengalaman baru yang cukup berharga dan tidak menyembunyikan hajat untuk mendakap trofi Piala Malaysia pada satu hari nanti sebagai ketua jurulatih.

Dia pernah menjulang piala berprestij itu pada tahun 2009 bersama Negeri Sembilan selaku pemain dan memberitahu bahawa perasaan memenangi Piala Malaysia adalah sesuatu yang sangat berharga serta bukan semua pemain berpeluang melakukannya.

“Semasa bergelar pemain, saya pernah bermain di pentas final sebanyak empat kali dan berjaya memenanginya sekali iaitu semasa dengan Negeri Sembilan pada tahun 2009.

“Kali ini cabaran banyak berbeza kerana ini musim pertama saya mengetuai pasukan ke pentas Piala Malaysia selepas dua tahun bersama dengan UKM, selaku penolong jurulatih dan bersaing di Challenge Cup.

“Bukan mudah untuk memerah otak bagi mengatur pemain dalam setiap perlawanan selain tekanan mengharapkan kemenangan dalam tiap perlawanan.

“Impian saya pada saingan akan datang mampu mengecap trofi Piala Malaysia selaku jurulatih sebagaimana ketika saya bergelar pemain satu masa dahulu,“ katanya.

Dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, Kelantan FC meraih satu mata hasil keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC selepas terdahulu tewas 0-2 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Kumpulan D.

Sementara itu, Rezal Zambery mengesahkan Kelantan FC terpaksa melupakan terus khidmat Jack Hindle dan Mario Arques bagi baki saingan TM Piala Malaysia 2021 kerana kecederaan.

Justeru itu, mereka akan meneruskan cabaran dengan hanya dua pemain import iaitu Christos Intzidis dan Natanael Siringo Ringo.

Dia bagaimanapun tidak tertekan dengan situasi itu sebaliknya menyifatkan ia peluang untuk pemain-pemain tempatan terutamanya bakat muda untuk merebut peluang berada dalam kesebelasan utama serta membuktikan keupayaan yang mereka miliki.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan komitmen dari pemain untuk berikan 100 peratus dan dalam dua perlawanan sebelum ini, kita boleh lihat banyak perkara positif dalam kalangan pemain.

“Kalau fikir dari segi positif, saya ada nyatakan kepada pemain-pemain saya, ketiadaan pemain ini sebenarnya adalah ruang buat mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Saya rasa semakin hari pemain-pemain mula menunjukkan hasil yang baik dari tiap perlawanan dan apa paling penting, jangan sesekali berasakan kita tidak boleh berikan saingan biarpun dengan hanya dua pemain import.

“Dalam bola sepak, sebelum kita bermain tiada sesiapa boleh tentukan siapa menang atau kalah tetapi adalah prestasi pemain itu sendiri yang akan menentukan kita sebuah pasukan yang baik atau sekadar hanya berada dalam kelompok saingan Piala Malaysia.

“Saya rasa dalam kumpulan ini, kita akan terus berikan saingan dan tidak mustahil dalam bola sepak, saya juga tidak salah untuk meletakkan sasaran layak ke suku akhir,” katanya.

Beberapa pemain tempatan seperti Nurshamil Abdul Ghani, Syed Sobri Syed Mohamad dan Dzulfahmi Hadi antara yang menyerlah bersama Kelantan sepanjang saingan Liga Premier.

Foto ehsan : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.