‘Rimau Jalan Tersipu-Sipu’ – Sanusi Gembira KL City Juara Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kejayaan KL City menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 pada Selasa, nampaknya turut menggembirakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sejurus selepas KL City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Johor Darul Takzim, Sanusi memuatnaik status “Sapa ada gambaq rimau jalan tersipu-sipu” dengan emoji gelak dan secara terbuka menyatakan “Tahniah KL City, Saya dan jutaan peminat bolasepak tumpang gembira” di media sosial rasmi beliau.

Sanusi screenshot 'Rimau Jalan Tersipu-Sipu' - Sanusi Gembira KL City Juara Piala Malaysia

Sebelum ini langkahan pasukan Kedah Darul Aman FC tersekat di peringkat suku akhir setelah kecundang kepada JDT 1-0 secara agregat, dengan perang media sosial antara Sanusi dan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menambah rencah kepada pertemuan itu.

Aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan KL City menundukkan JDT yang dianggap pilihan mutlak dan tidak akan sesekali tewas, malah sebelum perlawanan mereka begitu yakin dapat mempertahankan trofi.

Berita Berkaitan : KL City Malukan JDT Untuk Rangkul Piala Malaysia Edisi Ke-100

Malah boleh dikatakan 100 peratus pemerhati meramalkan kemenangan akan menjadi milik skuad Harimau Selatan, di mana bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh sendiri menyatakan bahawa JDT hanya akan tewas jika bernasib malang.

Kemenangan menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paolo Josue di separuh masa kedua itu sekaligus menoktahkan penantian 32 tahun KL City menjulang trofi Piala Malaysia, kali terakhir mereka memenanginya adalah pada 1989.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu juga menjuarai kempen kali ini dengan rekod bersih tanpa kekalahan dan berjaya menyambar tiket beraksi di Piala AFC musim 2022.

Lebih manis ia menjadi hadiah persaraan terbaik buat pemain veteran, Shukor Adan yang membuat penampilan terakhirnya dalam kancah Liga Malaysia setelah 24 tahun bergelar pemain profesional.

Manakala bagi JDT pula, ini adalah kekalahan kali kedua di pentas final Piala Malaysia sekaligus gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada tahun 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.