Pengendali Melaka United, Risto Vidakovic menerima padah gara-gara tindakannya mendedahkan masalah tunggakan gaji pasukan itu kepada umum, baru-baru ini.
Risto pada minggu lalu memberitahu dalam sidang media bahawa faktor utama pasukannya bermain macam tiada semangat ketika tewas kepada Sabah adalah kerana tunggakan gaji yang sudah memasuki tiga bulan, lantas meminta pengurusan segera menyelesaikannya.
Dia juga berkata ini kali pertama dia berdepan masalah gaji tidak dibayar dalam tempoh 36 tahun terlibat dengan bolasepak sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih.
Ia sekaligus menimbulkan rasa amarah pemilik pasukan, Datuk Seri Justin Lim yang menganggap kenyataan Risto Vidakovic menjatuhkan imej Melaka United dan berpendapat dia sepatutnya berbincang dulu dengan pihak pengurusan.
Justeru Justin berkata pengurusan akan mengambil tindakan sebagai memberi peringatan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan kelab itu agar tidak mengulangi perbuatan sama yang boleh mencemarkan nama baik pasukan.
“Saya sudah banyak berkorban untuk membina pasukan ini dan tidak mungkin akan merosakkannya termasuklah membiarkan pemain tidak dibayar gaji.
“Beliau (Vidakovic) mengeluarkan kenyataan tidak benar, walaupun sudah meminta maaf, namun kerosakan yang dibuatnya itu mencalarkan imej Melaka United.
“Pada peringkat awal ini, kami memberinya surat amaran dan tindakan lanjut akan diambil kelak supaya perkara sama tidak berulang,” ujarnya seperti dilaporkan Arena Metro.
Melaka United ketika ini menghuni tangga kesepuluh Liga Super dengan satu mata dari empat perlawanan.
Dalam pada itu, pengurus pasukan Melaka United, Akram Abdullah menafikan beberapa pemain import mereka tidak dapat diturunkan dalam dua aksi terakhir adalah kerana tanda protes.
Sebaliknya beliau memberitahu tiga import iaitu Ifedayo Olusegun, Emmanuel Oti dan Adriano Narcinzo tidak dapat diturunkan kerana masalah kecederaan.
“Selain kecederaan, faktor kecergasan turut menyebabkan Ifedayo, Adriano dan Oti tidak dapat diturunkan berdepan KL City di Cheras.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya terdapat sebarang protes terhadap pasukan sehingga trio terbabit tidak beraksi pada perlawanan penting berkenaan.
“Malah kami akui prestasi pasukan dilihat sedikit tempang tanpa mereka walaupun Sony Norde dan Justin Baas berada dalam kesebelasan pasukan dalam kedua-dua perlawanan itu,” katanya.