Pertahanan kanan Sabah FC, Rizal Ghazali mungkin terpaksa menbayar harga mahal berikutan menolak pelawaan menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata Rizal Ghazali tidak menyatakan sebab menolak panggilan Kim Pan-gon.
Menurutnya mana-mana pemain yang menolak panggilan skuad kebangsaan boleh dikenakan tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain didenda RM25,000.
Begitupun, menurut Saifuddin mereka masih belum boleh menjatuhkan hukumam memandangkan kem latihan berlangsung di luar tarikh kalendar antarabangsa FIFA.
Kalendar Antarabangsa FIFA bagi bulan ini adalah dari 21 hingga 29 Mac di mana Malaysia akan berdepan Filipina (23 Mac), Singapura (26 Mac) dan Albirex Niigata (28 Mac).
“Kita hanya boleh mengambil tindakan jika beliau tidak menghadiri latihan kebangsaan pada tarikh FIFA tersebut, jadi apa yang boleh dilakukan hanyalah menunggu sampai tarikh tersebut iaitu pada 21 Mac.
“Jika pada tarikh tersebut beliau tidak menghadirkan diri, kita akan bawa perkara ini kepada jawatankuasa tatatertib yang boleh mengambil keputusan dan sebarang tindakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.
Kim Pan-gon dalam satu kenyataan pada Isnin memberitahu Rizal Ghazali telah dipanggil untuk menggantikan Syahmi Safari yang telah meminta pengecualian berikutan kelahiran cahayamata, namun dia menolak pelawaan menyebabkan Ahmad Khuzaimi disenaraikan.
Rizal Ghazali telah menjadi antara sandaran penting Tan Cheng Hoe di posisi bek kanan ketika Piala AFF pada tahun lalu.
Dengan tiadanya Rizal Ghazali, Matthew Davies dan Syahmi Safari di bek kanan, Kim Pan-gon mungkin akan mempertaruhkan kelibat Dion Cools atau Quentin Cheng di posisi tersebut.