Roger Federer, Tiger Woods, Malah Saya Sendiri Pun Banyak Tekanan – Lee Chong Wei

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Sehebat-hebat Roger Federer, Tiger Woods malah diri saya sendiri pun melalui banyak tekanan sebelum dapat berada di kedudukan nombor satu dunia. Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa ada tekanan.”

Itu nasihat bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei kepada pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang membuat keputusan keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas alasan tidak tahan tekanan.

Lee Chong Wei mengakui Zii Jia bertemu dengannya terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum bertindak menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM untuk bergerak sebagai pemain bebas.

Pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik itu berkata Zii Jia yang menjuarai Seluruh England 2021 mengakui dirinya tidak boleh berdepan tekanan yang hebat, namun tidak menyatakan secara jelas bentuk tekanan diterima.

“Saya tak tahu macam mana tahap tekanan di BAM ketika ini sebab saya tidak bersama BAM lagi, untuk saya dulu memang satu tekanan tetapi lain karakter dan lain pemain, ada yang boleh menangani tekanan itu.

“Bagi saya tekanan saya hadapi memang cukup kuat, namun saya dapat jadikan ia sebagai satu motivasi. Saya merasainya (tekanan) tetapi saya tukar ia menjadi dorongan untuk saya berjuang demi negara. Lain orang lain caranya,” kata Chong Wei kepada Bernama.

Chong Wei berkata beliau tidak menyarankan supaya Zii Jia meninggalkan BAM mahupun terus kekal bersama badan induk itu berikutan tekanan dihadapi, kerana enggan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

Bagaimanapun menurutnya, beliau menasihatkan supaya pemain ranking ketujuh dunia berusia 23 tahun itu berbincang bersama BAM bagi mencapai titik pertemuan yang memenangkan kedua-dua pihak.

Katanya ini kerana hubungan beliau dengan BAM sepanjang 19 tahun bernaung di bawah badan induk itu juga tidak terlepas daripada diuji dengan masalah persefahaman, namun ia dapat ditangani menerusi perbincangan.

“Saya berkongsi pengalaman saya dengan dia (Zii Jia) termasuklah sebab saya kekal di BAM sehingga saya bersara. Saya minta dia untuk fikir secara mendalam berhubung keputusannya.

“Saya cakap kepada dia, dengan segala fasiliti yang BAM ada, saya beritahu skuad kebangsaan adalah lebih baik. Saya tidak tahu jika dia ada masalah dengan BAM kerana dia pun tidak cerita dan saya pun tidak tanya.

“Memang kita kadang-kadang ada alasan atau perkara yang tak ‘ngam’ (sesuai) dengan kita, tetapi bagaimana cara kita beri kerjasama kepada BAM, bertolak ansur, dan dalam apa yang kita buat bukan 100 peratus betul.

“Bukan saya seorang saja, Federer (Roger Federer) dan Tiger Woods pun, semua sukan sama. Kalau kita tak boleh tahan dengan tekanan, peluang untuk capai satu tahap lebih baik iaitu jadi pemain nombor satu dunia adalah amat sukar,” ujar Chong Wei yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia untuk 200 minggu berturut-turut.

Tambahnya lagi, “Saya cakap kalau dia mahu jadi pemain nombor satu dunia dan negara, dia perlu berdepan dengan tekanan. Kalau tidak boleh tahan dengan tekanan, itu bukan pemain.

“Saya juga beritahu adakah dia rasa jika dia berada di luar (bergerak secara profesional), dia tidak akan hadapi tekanan, saya fikir tekanan itu lebih tinggi.

“Namun, dia sudah buat keputusan dan saya tidak mahu mempengaruhi dirinya. Dia sudah ada perancangan dia sendiri dan saya ucapkan selamat maju jaya untuk dia.”

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Khamis mengesahkan Zii Jia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu dan sudah menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Jan lalu.

Mohamad Norza berkata antara faktor Zii Jia ingin keluar daripada badan induk itu kerana beliau bosan dibandingkan dengan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang tanpa kekangan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.