Romel Morales Diikat 3 Tahun – “Jika Berminat, Boleh Ambil Tapi Sila Bayar”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard Samuel dalam satu temuramah di Astro Arena baru-baru ini memberitahu pasukan itu sudahpun menyelesaikan urusan pembaharuan kontrak pemain bagi musim 2022 sejak dari bulan Ogos lagi, tanpa menunggu kontrak mereka tamat terlebih dahulu.

Malah beliau mendedahkan kelab itu mengekalkan 95 peratus wajah lama dengan kebanyakan mereka disambung kontrak paling kurang dua tahun.

Ini termasuklah pemain import yang mencetus sensasi, Romel Morales yang difahamkan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun bermula tahun 2022, menyaksikannya akan kekal dengan skuad juara Piala Malaysia itu sehingga 2024.

Bagi Stanley Bernard, apabila pemain-pemain ini sudah diikat lama, tidak wujud kebimbangan mereka akan dirembat pasukan lain sewenang-wenangnya dan sekiranya ada pasukan yang berminat, boleh menggunakan saluran betul untuk merisik.

“Pemain yang mahu kita kekalkan, Ogos lagi kita sudah selesaikan. Kita kekalkan 95 peratus skuad, apa anda lihat musim ini, itu yang anda akan lihat musim depan dengan sedikit penambahan di setiap posisi.

“Kebanyakan pemain yang sign kontrak tahun ini adalah selama dua tahun, jika ada pemain-pemain KL yang dikaitkan dengan pasukan lain, atau ada pasukan berminat dengan mereka tiada masalah, boleh ambik tapi bayar klausa (pelepasan), kita berbisnes, tak ada isu,” ujar Stanley Bernard.

Sementara itu, Romel Morales yang juga Pemain Import Terbaik Liga Malaysia 2021 mendedahkan ada menerima beberapa tawaran menarik dari pasukan Liga Malaysia namun memilih untuk kekal setia dengan KL City kerana selesa dengan keharmonian dan semangat kekeluargaan di dalam pasukan.

“KL City dibarisi pemain yang berpengalaman dan berkualiti. Pasukan ini bukan sahaja mengenai bola sepak, kesatuan dalam pasukan ini cukup baik dan saya mahu kekal lama bersama pasukan,” kata pemain dari Colombia yang juga calon hangat untuk dinaturalisasikan ini.

Romel Morales menjadi antara tunjang utama kejayaan KL City dalam saingan Piala Malaysia musim ini, dia yang merupakan penyerang sandaran meledak 10 gol dan turut muncul penjaring terbanyak pertandingan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.