Romel Morales Sudah Tidak Sabar Perkuatkan Harimau Malaya – Ejen

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Seperti diketahui, penyerang import KL City, Romel Morales boleh dinaturalisasikan pada 2023 apabila genap lima tahun dia bermain di Liga Malaysia.

Pemain dari Colombia itu mengganas dalam kempen Piala Malaysia 2021 dengan ledakan 10 gol dan menjadi tonggak membantu KL City mencipta kejutan muncul juara piala berprestij itu pada 30 November lalu.

Ini juga menyaksikannya dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik Liga Malaysia di Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 pada Sabtu lalu.

Ejen pemain itu, Effendi Jagan Abdullah memberitahu Arena Metro bahawa Romel Morales sememangnya bersedia menerima kerakyatan negara ini dan sudah tidak sabar untuk memperkuatkan Harimau Malaya sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Memang dia (Morales) nak main (mewakili Malaysia), memang sudah ada perancangan untuknya di mana KL City akan menaturalisasikan dia.

“Itu perancangan jangka panjang dan dia juga mengesahkan untuk kekal dengan pasukan KL City lagi. InsyaAllah, kalau pasukan negara panggilnya, tahun 2023 baru dia boleh mula sertai pasukan,” katanya yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia.

Romel Morales mula diperkenalkan ke Liga Malaysia oleh PKNS FC pada 2018 dan setelah dua musim bersama pasukan itu, dia berhijrah ke Melaka United pada musim 2020 dan pada tahun ini menyertai KL City.

Pada awalnya dia tidaklah begitu menonjol sehinggalah Bojan Hodak membuat satu percaturan berani dengan meletakkannya sebagai penyerang ketika KL City ketiadaan penyerang tulen. Dia menyahut cabaran dan meletup sehinggalah namanya mula menjadi sebutan penyokong bolasepak tanah air.

Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia sebelum ini membuat keputusan menghentikan sementara Program Naturalisasi Kebangsaan yang dikatakan gagal susulan prestasi hambar tiga pemain naturalisasi – Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula – bersama pasukan kebangsaan terutama di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun lalu.

Begitupun, FAM tidak menghalang mana-mana kelab untuk menaturalisasikan pemain mereka sekiranya cukup syarat dan sekiranya ada pemain yang benar-benar berkualiti dan luar biasa barulah dia akan dipanggil menyertai Harimau Malaya.

Ketika ini ada beberapa lagi pemain yang boleh dinaturalisasikan oleh kelab masing-masing termasuklah Gonzalo Cabrera (JDT) serta Lee Tuck dan Sergio Aguero (Sri Pahang) pada tahun depan; Endrick Dos Santos (Penang) dan Argzim Redzovic (Terengganu) pada 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.