Rosmadi yakin kepimpinan KAFA takkan lepas tangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail meminta penyokong supaya menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan kemelut demi kemelut yang menimpa persatuan itu.

Kepimpinan KAFA diterajui Wan Abdul Rahim sedang berdepan kecaman hebat penyokong berikutan kegagalan merubah nasib pasukan itu sehingga telah meletakkan pasukan kesayangan mereka dalam situasi ‘hidup segan mati tak mahu’ dek kerana masalah kewangan kritikal.

Bukan sahaja berhutang gaji semasa, mereka juga telah diarahkan untuk membayar beberapa tuntutan tunggakan gaji bekas pemain import oleh FIFA jika mahu terus bernyawa.

Situasi bertambah buruk dengan tindakan Datuk Wan Rakemi melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd selaku entiti yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan Kelantan FA musim 2020 sekaligus menyaksikan After Image Sdn.Bhd sebagai pemegang taruh terbesar dalam TRWSB turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

Bagi Rosmadi, dia bukan sahaja berharap, tetapi yakin kepimpinan KAFA yang dibarisi bijak pandai dalam pelbagai bidang mampu mencari jalan keluar.

“Pokok pangkalnya kena ada duit untuk ‘run’ sebuah pasukan. Saya percaya semua di dalam KAFA mempunyai kebijaksanaan dan kepandaian untuk mencari solusi. KAFA ada pakar dalam pelbagai bidang sama ada perundangan, perniagaan mahupun tokoh korporat, di masa inilah semua kepakaran ini harus bergabung.

“Apabila mereka masuk ataupun kekal di dalam persatuan yang diketahui bermasalah, ini bermakna mereka sudah sedia untuk bertanggungjawab dan mengambil risiko, membuktikan bahawa mereka sayangkan bolasepak Kelantan.

“Macam saya sendiri, apabila saya disebut sebagai calon untuk mengambil alih kepimpinan KAFA tahun lalu, saya awal-awal lagi menolak kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya. Jadi saya berharap penyokong supaya terus memberi sokongan kepada kepimpinan yang ada, saya yakin mereka takkan lepas tangan,” kata Rosmadi kepada LabolaMalaya.

Rosmadi yang juga bekas Naib Presiden KAFA bagaimanapun mengakui persatuan itu sukar mencari ganti seorang pemimpin sama seperti bekas Presiden, Tan Sri Annuar Musa.

“Tan Sri telah merubah wajah bolasepak Kelantan sebagai kuasa besar dan meninggalkan satu sejarah gemilang yang pastinya akan kekal sebagai memori indah dan dirindui oleh penyokong Kelantan,” ujarnya.

Foto : Arkib Labola

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.