Rozaimi akui sudah lama mengidam sarung jersi Kedah kerana penyokong mereka yang luar biasa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang baru Kedah, Rozaimi Abdul Rahman mendedahkan dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menyarung jersi Kedah terutamanya disebabkan tertarik dengan penyokong mereka yang luar biasa.

Pemain itu yang bermain dengan Johor Darul Takzim II selama lima musim, diumumkan sebagai pemain baru Kedah baru-baru ini setelah hasrat asalnya untuk bermain mewakili pasukan negeri kelahiran Sabah, tidak kesampaian.

Baca : Verdon Bahanda kesal sikap tidak profesional Rozaimi, anggap dia tidak sesuai bermain dengan Sabah

“Saya pilih Kedah kerana memang sudah lama menjadi impian untuk bermain dengan pasukan ini, semua tahu bolasepak Kedah cukup meriah disebabkan penyokong mereka yang luar biasa dan antara yang paling fanatik dalam Liga Malaysia.

“Malah, ramai juga pemain yang saya kenali bermain dengan pasukan ini dan ia memudahkan saya membuat keputusan.

“Jadi saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan akan cuba sedaya-upaya untuk tidak mengecewakan pengurusan mahupun penyokong.

“Melihat kepada senarai pemain, Kedah 2021 memang cukup mantap dan saya perlu akui perlu bersaing sengit untuk rebut tempat dalam kesebelasan utama, namun ini sebenarnya merupakan satu cabaran untuk diri saya sendiri, untuk saya membuktikan saya masih boleh bermain di tahap tertinggi.

“Saya perlu menggandakan usaha dan berharap dapat membantu pasukan mencapai sasaran serta KPI yang ditetapkan,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Menyarung jersi Kedah yang sentiasa menjadi pencabar kuat dalam saingan Liga Malaysia, serta pasukan yang akan bermain di Piala AFC tahun depan, pastinya peluang terbaik buat Rozaimi membuktikan kepada Sabah betapa mereka silap besar kerana melepaskannya pergi.

Sebagai rekod, Rozaimi merupakan produk Piala Presiden Sabah yang disifatkan sebagai antara bakat terbaik pernah dilahirkan negeri itu.

Dia mencipta nama ketika SUKMA 2012 di Pahang apabila membantu Sabah memenangi pingat emas dengan menewaskan Perak dalam aksi final, dan terus mengembangkan kariernya apabila dipinjamkan ke skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee seterusnya muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC B-22 2013.

Rozaimi kembali ke Sabah selepas itu, namun bergelut dengan kecederaan buku lali pada April 2014 dan ketika dia mahu kembali, kecederaan itu berulang lagi pada awal 2015, menyaksikannya terpaksa bermula daripada kosong.

Ketika dia disebut bakal membuat kemunculan semula pada Julai tahun tersebut, malang menimpa lagi apabila Rozaimi terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak saudaranya.

Selepas itu, kontraknya ditamatkan Sabah dan dia menyertai JDT II dengan menandatangani kontrak tiga tahun dan kemudian lanjutan dua tahun yang membantu memulihkan dan meletakkan kariernya kembali dalam landasan.

Foto : Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.