Rugi Besar Jika Terengganu Lepaskan Nafuzi Zain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC akan rugi besar jika membuat keputusan melepaskan atau menamatkan khidmat Nafuzi Zain.

Demikian pandangan jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim yang berharap agar Nafuzi Zain dikekalkan untuk terus mengemudi pasukan itu pada musim depan.

Menurut Irfan Bakti yang kini membimbing Kuching City FC, Nafuzi Zain sudah menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih dengan baik sehingga meletakkan pasukan itu di kelompok teratas Liga Super.

Justeru, beliau menyatakan Nafuzi Zain wajar diberi peluang membuktikan beliau mampu membawa TFC ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang, meskipun ketika ini pelbagai spekulasi diperkatakan mengenai masa depan jurulatih muda itu.

“Saya kenal Nafuzi kerana dia pernah menjadi pembantu saya dan kami sentiasa berhubung. Saya selalu menasihatkan dia supaya bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Bola sepak ada turun naiknya. Lagipun TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya masih di kelompok atas bagi perebutan tangga kedua liga,” katanya kepada Bernama.

Tambah Irfan lagi, sebagai bekas pengendali TFC, beliau sentiasa mengikuti rapat pasukan itu dan bangga dengan pencapaian Nafuzi yang disifatkan memiliki bakat serta potensi besar dalam dunia kejurulatihan.

Berita berkaitan : Dianggap jurulatih terbaik masa kini, kenali siapa sifu Nafuzi Zain

Sebagai rekod, Nafuzi Zain sebelum ini diarahkan supaya mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pengurusan TFC selepas pasukannya tewas tiga kali berturut-turut iaitu kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Johor Darul Ta’zim.

Kekalahan TFC pada aksi-aksi penting di hujung musim menyebabkan mereka jatuh daripada tangga kedua ke tangga keempat liga, sekali gus mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada peminat bola sepak Terengganu yang tidak berpuas hati dengan penurunan prestasi mendadak pasukan tersebut.

TFC akan menamatkan saingan Liga Super pada aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan pada 14 September ini. Perlawanan itu juga adalah misi penentu bagi memburu slot automatik ke Piala AFC 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.