Rugi kalau Terengganu FC tak menang piala tahun ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertahanan meningkat naik, Muhammad Mohd Faudzi berpendapat ianya satu kerugian besar sekiranya Terengganu FC gagal menjulang sebarang trofi pada tahun ini.

Terengganu FC kali terakhir mendakap piala adalah pada tahun 2011 apabila muncul juara Piala FA dengan menewaskan Kelantan FC dalam aksi final.

Peluang terbaik selepas itu adalah ketika mara ke final Piala Malaysia 2018, namun mereka kecundang dalam aksi final kepada Perak FC menerusi penentuan penalti.

Justeru Muhammad atau lebih dikenali sebagai Amad berharap 2021 membawa tuah kepada Terengganu FC untuk menamatkan kemarau trofi selama 10 tahun, apatah lagi menurutnya skuad sang penyu pada musim ini antara yang terbaik pernah dikumpulkan selepas sekian lama.

“Secara keseluruhan saya memang suka berada bersama Terengganu FC dengan rakan-rakan, kemudahan serta program yang dijalankan oleh pasukan malah saya nampak pasukan kali ini agak baik.

“Rugi rasanya kalau tiada piala untuk Terengganu musim ini kerana komitmen yang diberikan semua rakan seperti pemain muda cukup tinggi dalam tiap perlawanan.

“Saya pun berazam mahu terus kekalkan tempat dalam kesebelasan utama sejak mendapat kepercayaan jurulatih sejak aksi bertemu PJ City kerana persaingan untuk mendapat tempat begitu sengit, jadi saya bersyukur sangat diberikan peluang,” katanya.

Terengganu FC ketika ini menduduki tempat kedua Liga Super, hanya tiga mata di belakang Johor Darul Takzim dengan berbaki sembilan perlawanan untuk diharungi.

Amad merupakan antara watak penting di benteng pertahanan Terengganu FC musim ini, di mana dia mula diturunkan sejak perlawanan keenam Liga Super berdepan PJ City FC dan tidak pernah terlepas peluang berada dalam kesebelasan utama sejak lapan perlawanan terakhir Terengganu FC.

Aksi paling cemerlangnya setakat ini ialah semasa membantu pasukan mengejutkan JDT 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu.

Sementara itu, Amad mengakui sangat mengagumi pemain veteran yang kini bersama Kuala Lumpur City FC (KL City), Shukor Adan.

Malah, dia mengharapkan mampu mengikuti apa dilakukan Shukor yang masih mampu beraksi sehingga usia 41 tahun selain mengagumi personaliti dimiliki beliau yang dianggap jarang dimiliki mana-mana pemain lain.

Tambahnya, pengalaman pernah berlatih bersama Shukor ketika di Felda United pada musim 2015 menjadi antara kenangan manis dalam kariernya yang tidak pernah dilupakan.

“Saya sangat suka tengok cara Shukor Adan dan kalau boleh mahu mengikut jejak langkah dia sebagai seorang pemain pertahanan tengah yang hebat serta ada karakter tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang.

“Masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi saya sudah meminati Shukor dan selepas saya mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden Felda pada 2015, saya berpeluang berlatih bersama Shukor dalam pasukan utama yang ketika itu dilatih jurulatih, Irfan Bakti.

“Masa itu saya baharu berumur 19 tahun dan apabila dapat berlatih dengan pemain-pemain hebat seperti Shukor, ia satu perasaan yang tidak digambarkan dan banyak yang saya belajar darinya memandangkan dia pun seorang pemain pertahanan tengah, ” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.