Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakSaat Apek, Baddrol Bakhtiar kecewakan jutaan penyokong Indonesia

Saat Apek, Baddrol Bakhtiar kecewakan jutaan penyokong Indonesia

Penyokong bolasepak tanah air sudah begitu lama tidak merasai momen gemilang membabitkan skuad kebangsaan.

Sedar atau tidak, selepas tiga tahun berturut-turut mendominasi rantau ASEAN dari tahun 2009-2011 melalui skuad senior dan juga skuad B-23 tahun dengan kejayaan terakhir adalah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011, kita masih menanti sesuatu yang indah untuk berlaku.

Ya, pingat emas yang dimenangi di bumi Indonesia 10 tahun lalu – setahun selepas memenangi Piala AFF Suzuki buat pertama kali – adalah kali terakhir kita mencipta gemilang di pentas antarabangsa.

Sukan SEA 2011 Saat Apek, Baddrol Bakhtiar kecewakan jutaan penyokong Indonesia

Selepas itu, pencapaian terbaik Harimau Malaya adalah muncul naib juara Piala AFF Suzuki sebanyak dua kali pada 2014 dan 2018, selain memenangi pingat perak di Sukan SEA 2017 yang berlangsung di tempat sendiri.

Mengimbau momen gemilang terakhir di Sukan SEA 2011

Skuad negara kendalian Dato’ Ong Kim Swee yang hadir dengan reputasi selaku juara bertahan diundi di dalam Kumpulan A yang dianggap kumpulan maut dibarisi tuan rumah Indonesia; juara 16 kali, Thailand; Singapura dan juga Kemboja.

Meskipun bermula hambar selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Singapura, Harimau Malaya menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku juara setelah menang tiga aksi berikutnya.

Jaringan Baddrol Bakhtiar dan Izzaq Faris Ramlan membantu Malaysia menewaskan Thailand 2-1; disusuli kemenangan besar 4-1 ke atas Kemboja menerusi jaringan Izzaq Faris, Baddrol Bakhtiar (2 gol) dan Wan Zaharulnizam Zakaria sebelum jaringan tunggal Syahrul Azwari Ibrahim memastikan kemenangan 1-0 ke atas Indonesia dalam aksi terakhir di Stadium Gelora Bung Karno.

Indonesia mengiringi Malaysia ke separuh akhir manakala bagi Thailand pula ia menjadi antara kempen terburuk mereka setelah menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan hanya satu kemenangan ke atas Kemboja.

Di peringkat separuh akhir skuad negara bertemu Myanmar yang seperti diduga muncul naib juara Kumpulan B.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, penyerang kesayangan ramai Ahmad Fakri Saarani muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal yang memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-86.

Indonesia menewaskan Vietnam dalam satu lagi aksi separuh akhir untuk menempah pertemuan ulangan menentang Malaysia.

Ketika ini skuad negara sudahpun berdepan tekanan cukup besar dari penyokong Indonesia – kekalahan di final Piala AFF 2010 masih berbekas dan mereka jelas tidak mahu sang garuda sekali lagi dimalukan Malaysia, lantas melakukan sedaya yang boleh untuk menganggu fokus pasukan Ong Kim Swee.

Aksi final di Gelora Bung Karno menyaksikan Indonesia merebut pendahuluan seawal minit kelima menerusi Gunawan Dwi Cahyo namun Asrarudin Putra Omar menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan terbang rendah setelah menerima hantaran Baddrol Bakhtiar.

Tiada tambahan jaringan selepas itu, termasuklah pada masa tambahan menyaksikan perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti.

Selepas tamat empat sepakan penalti, kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 3-3.

Mahali Jasuli, Fandi Othman dan Fadhli Shas menyempurnakan sepakan bagi skuad negara, manakala Titus Bonai, Egy Melgianshah dan Rahman Sulaeman pula bagi Indonesia.

Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Apek) membuatkan penyokong Malaysia melonjak bersorak riang setelah menyelamatkan sepakan penalti terakhir Indonesia yang diambil Ferdinand Sinaga, namun belum habis lagi!

Mata jutaan penyokong Malaysia dan Indonesia kini tertumpu kepada kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar. Pemain Kedah itu melangkah tenang dan sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kurnia Meiga, namun bola bergolek masuk ke dalam gawang untuk menghadiahkan kejuaraan kepada Malaysia dengan kemenangan 4-3.

Itulah kali terakhir penyokong bolasepak tanah air menikmati detik indah, detik gemilang menyaksikan Malaysia muncul jagoan Asia Tenggara.

Barisan pemain negara di Sukan SEA 2011 :

Khairul Fahmi, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Asrarudin Putra Omar, Muslim Ahmad, K.Gurusamy, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail, Fakri Saarani, Tamil Arasu, Nazmi Faiz, Yong Kuong Yong, Fandi Othman, Shukur Jusoh, Izzaq Faris Ramlan, Amer Saidin, Syahrul Azwari, Wan Zaharulnizam dan Izham Tarmizi

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.