Sabah FC Dilabel ‘Kuda Hitam’ Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik prestasi goyah dan mengecewakan dalam saingan Liga Super, Sabah FC antara pasukan yang perlu diberi tumpuan dalam saingan Piala Malaysia.

Itu pandangan bekas jurulatih skuad kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang menegaskan kehadiran Dato’ Ong Kim Swee sebagai jurulatih baru Sabah FC bakal membawa kelainan dalam persembahan mereka, lantas berpotensi menjadi ‘kuda hitam’ dalam edisi kali ini.

Dalam saingan Liga Super yang menutup tirai 12 September lalu, Sabah FC menamatkan musim dengan menduduki tangga kesembilan setelah mencatat empat kemenangan, tujuh seri dan 11 kekalahan.

Lebih malang, skuad yang ketika itu dibimbing Kurniawan Dwi Yulianto tewas kesemua lima perlawanan terakhir termasuk kepada dua pasukan tercorot iaitu Uitm FC dan Perak FC.

Prestasi buruk mereka dikaitkan dengan masalah tunggakan gaji yang kemudiannya dilaporkan telah diselesaikan oleh pengurusan.

Baca : Tinggalkan Gaji Mewah Di FAM Untuk Sertai Pasukan Bermasalah, Adakah OKS Buat Keputusan Tepat?

“Selepas diambil alih Kim Swee, semua pasukan tak tahu bagaimana permainan Sabah selepas ini. Orang kata itu macam ‘bom jangka’, kita tak boleh nak ramalkan.

“Jadi Sabah salah satu pasukan yang saya tengok akan mengiringi JDT (ke suku akhir dari Kumpulan D) walaupun mungkin perebutan naib juara kumpulan dengan PJ City dijangka sengit,” kata Wan Jamak kepada BH Sukan.

Satu lagi pasukan dalam Kumpulan D adalah Kelantan yang mengesahkan tiket ke Piala Malaysia setelah menewaskan Selangor II pada Selasa.

Sepanjang karier kejurulatihan lebih 15 tahun Ong Kim Swee, ini adalah kali kedua beliau mengendalikan pasukan Liga Malaysia selepas Melaka pada 2004.

Dari 2005 hinggalah ke tahun ini, beliau telah berkhidmat bersama Persatuan Bolasepak Malaysia dalam pelbagai kapasiti, yang terakhir adalah Pengarah Teknikal sebelum membuat keputusan menyertai Sabah bermula 1 Oktober depan.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik pasukan Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia adalah muncul naib juara sebanyak dua kali pada 1996, 2002 dan 2003.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.