‘Sabar Dulu, Nanti Kita Buat Surprise’ – CEO Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC kekal berahsia mengenai pemain baru yang akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan itu bagi musim baru Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Datuk Ahmad Suffian Awang berkata beliau sedar dengan keterujaan penyokong menanti pengumuman pemain baru terutama apabila banyak nama dikaitkan, namun di pihak Sri Pahang mereka hanya akan mengumumkan apabila segalanya sudah sah dimuktamadkan.

Antara nama yang dikaitkan dengan mereka adalah Azwan Aripin, Fandi Othman dan David Rowley manakala Manuel Hidalgo dan Muslim Ahmad pula dikatakan membuat u-turn untuk kekal.

Malah terbaru, tersebar di laman sosial bahawa mereka akan membawa masuk pemain dari Perancis iaitu Johan Martial iaitu abang kepada pemain Manchester United, Anthony Martial.

“Buat masa ini sabar dulu, saya tahu semua tidak sabar untuk mengetahui siapa pemain-pemain baru, tetapi kita tidak mahu dedahkan lagi kerana mahu segala urusan berjalan lancar. Kita tidak mahu ia nanti menganggu proses rundingan dan mungkin juga menyebabkan pemain disailang pasukan lain.

“Jadi biarlah kita selesaikan dulu urusan kontrak sebagainya dan kemudian, saya sendiri akan panggil rakan-rakan media, mengumumkan secara serentak. Kita buat surprise,” ujar Datuk Ahmad Suffian.

Beliau ditemui Labola Malaya selepas Majlis Perjanjian Penajaan antara Sri Pahang FC dan pembekal peralatan sukan bumiputera berjenama tempatan, Hakka Clo PLT bertempat di Sri Pahang Lounge.

Pada majlis itu, Sri Pahang FC telah diwakili oleh Datuk Ahmad Suffian manakala Hakka Clo Plt diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Noor Soallihin Mohamed.

Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini adalah Pengerusi SPFC, YM Raja Dato’ Shaharudin Shah Raja Jalil Shah.

Menerusi perjanjian penajaan yang dimeterai ini, Hakka Clo Plt akan menaja kelengkapan sukan untuk pasukan Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia musim 2022 dan 2023 dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM1,131,533.

Foto : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.