‘Sabar dulu, tunggu kenyataan rasmi’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gambaran awal mengenai masa depan Liga Malaysia 2020 sudahpun terlihat setelah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu tiada aktiviti bolasepak boleh diadakan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata kenyataan Ismail Sabri itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan mengambil kira akan bahaya wabak Covid-19 yang menjadi ancaman di seluruh dunia.

Namun, Yusoff menjelaskan FAM tidak mahu cepat melatah sebaliknya menunggu kenyataan rasmi dari kerajaan mengenai perkara itu, justeru meminta penyokong bersabar dahulu sebelum membuat kesimpulan sudah tiada lagi aksi bolasepak bagi tahun ini.

“Jawapan Datuk Seri Ismail bersifat umum dan secara spontan menjawab soalan wartawan bahawa tidak boleh ada aktiviti berkumpulan selepas PKP. Di pihak FAM kita menanti kenyataan rasmi, yang mana saya rasa akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

“Apa sekalipun, kita bersedia untuk ikut keputusan kerajaan, sudah tentu kita mahu meneruskan saingan walaupun lebih lewat, tetapi jika tiada pilihan selain membatalkan, maka kita terpaksa ambil langkah itu demi keselamatan semua,” ujar Yusoff.

Pada Jumaat lalu FAM melalui kenyataan oleh Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam memberitahu telah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai Prosedur Standard Operasi yang perlu dipatuhi untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia 2020.

Selain memberitahu bahawa perlawanan bolasepak tidak boleh diteruskan, Ismail Sabri turut memberitahu bahawa beberapa SOP baru akan diperkenalkan selepas PKP ditamatkan.

Foto : FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.