Safawi Rasid jadi superstar kerana pilih tempat yang betul

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Safawi Rasid bakal memacu kariernya ke fasa baru setelah Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan telah menerima tawaran daripada kelab Liga Primeira Portugal, Portimonense FC.

Ia jelas satu perkembangan yang mengujakan untuk melihat seorang lagi anak Malaysia berkelana ke bumi Eropah tetapi untuk Safawi Rasid berjaya memikat perhatian kelab Portugal itu bukanlah satu kejutan.

Ini kerana Safawi Rasid boleh disifatkan sebagai salah seorang ‘rare talent’ pernah disaksikan dalam arena bolasepak tempatan dan dia telah berada pada prestasi cukup mengagumkan sejak menyertai JDT pada 2017.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menunjukkan kualiti yang mempesona sama ada di pentas domestik mahupun peringkat Asia bersama Harimau Selatan sehingga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia sebanyak dua kali berturut-turut pada 2018 dan 2019.

Malah dia turut menyinar bersama pasukan B-23 kebangsaan, siapa boleh lupa dua jaringannya yang merobohkan ego Korea Selatan di Sukan Asia 2018 dan rentak sama itu diteruskan bersama skuad senior Harimau Malaya.

Justeru dengan potensi ditunjukkan Safawi Rasid, sudah ramai pemerhati mahupun pengkritik sukan mencadangkan agar dia mengembangkan karier ke luar negara.

Jepun, Korea Selatan adalah antara destinasi yang selalu dikaitkan sejak satu atau dua tahun yang lalu namun peluang untuk anak muda ini berkelana boleh dikatakan hadir tepat pada waktunya, dengan JDT memaklumkan dia akan dilepaskan menyertai kelab liga utama Portugal itu sebaik sahaja saingan Liga Malaysia musim ini berakhir.

PILIH JDT, KEPUTUSAN BERANI YANG TEPAT! 

Titik perubahan dalam karier pemain berusia 23 tahun itu adalah ketika dia membuat keputusan untuk meninggalkan T-Team (kini Terengganu FC II) dan menerima lamaran JDT pada penghujung 2016.

Percayalah, ketika itu terlalu ramai yang mengatakan ia bukan satu keputusan tepat untuk perkembangan karier Safawi, dia hanya akan merosakkan masa depan mengambil kira pasukan itu sudah dilimpahi ramai pemain bintang berprofil tinggi.

Dia dikhuatiri akan memanaskan ‘seat-recaro’ di Stadium Larkin, dengan usianya yang muda (ketika itu baru 20 tahun) sukar untuk mendapat peluang untuk menyerlahkan bakat dan banyak lagi pendapat-pendapat pesimistik.

Di sebalik itu, salah seorang yang meletakkan kepercayaan tinggi kepada Safawi, tidak lain, pemilik JDT itu sendiri, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor).

DYAM Tunku Ismail meminta Safawi mengetepikan segala persepsi negatif dan meyakinkannya inilah platform untuk dia mencipta nama. Baginda yakin Safawi mempunyai masa depan cerah dan dia akan pada satu hari berdiri sebagai superstar bolasepak tanah air.

Dengan adanya fasiliti moden berkelas dunia serta persekitaran yang kondusif, dibantu kerja keras, keinginan, keghairahan dan motivasi diri yang tinggi dalam dirinya sendiri, menjadikan Safawi pemain lebih matang, dan mengukuhkan nama sebagai penyerang sayap berprofil tinggi dalam negara.

Lebih penting, dia membalas kepercayaan diletakkan DYAM Tunku Ismail dan membuktikan bahawa berhijrah ke JDT adalah keputusan terbaik dibuatnya, lantas menutup mulut mereka yang meragui keputusannya suatu masa dulu.

Dengan berjaya memenangi perhatian Portimonense FC, Safawi akan menempuh fasa baru dalam perjalanan kariernya dan semoga ia menjadi batu loncatan untuk dia membidik peluang yang lebih besar di masa depan.

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.