Safawi Rasid : “Maaf, perkara tersebut tidak akan berulang lagi”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid memohon maaf kepada penyokong bolasepak tanah air, yang terguris dan tersinggung dengan cara dia meraikan gol ketika menentang Thailand beberapa hari lalu.

Pada perlawanan tersebut, Safawi Rasid meledak jaringan menerusi tendangan penalti pada minit ke-55, dan meraikan jaringan dengan lagak menyuruh ‘keyboard warriors’ ataupun penyokong-penyokong yang mengkritiknya supaya menutup mulut.

Safawi Rasid Safawi Rasid : "Maaf, perkara tersebut tidak akan berulang lagi"

Dia kemudian menjerit tanda puas disusuli aksi ikonik melompat tinggi ke udara dan berlaga dada dengan Guilherme De Paula, yang dianggap sebagai sangatlah keterlaluan apatah lagi pemerhati mahupun penyokong merasakan dia tidak membuktikan apa-apa menerusi jaringan itu.

“Terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami (Harimau Malaya), saya minta maaf atas celebration yang tidak menyenangkan itu, perkara tersebut tidak akan berulang lagi. Maaf sekali lagi,” tulisnya di instastory.

Safawi Rasid yang merupakan tonggak skuad Harimau Malaya dalam lima perlawanan pertama di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dua tahun lalu gagal mengulangi sentuhan cemerlangnya dalam baki tiga perlawanan yang berlangsung bulan ini.

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 dan 2019 itu ‘hilang’ dan beraksi tidak pada tahap sebenar ketika perlawanan persahabatan menentang Bahrain, disusuli ketika tewas 0-4 kepada UAE dan 1-2 kepada Vietnam, malah ketika menentang Thailand dia hanya dibawa masuk pada separuh masa kedua.

Tiada satu pun perlawanan yang menyaksikan pemain itu beraksi penuh 90 minit sekaligus mengundang kritikan.

Sebagai rekod pada bulan Mac lalu, Safawi Rasid mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan menentang Uitm FC dan tersisih lebih lima minggu. Dia hanya kembali diturunkan dalam dua perlawanan terakhir sebelum Liga Super berhenti rehat dan ramai mengaitkan ia antara punca dia tidak dapat menyerlahkan sentuhan sebenar.

Sepanjang ketiadaannya kerana kecederaan, tempatnya telah diisi bintang muda berusia 19 tahun Arif Aiman Hanapi, yang  berjaya memenangi hati penyokong dengan aksi memukau dan mengagumkan.

Harapan tinggi diletakkan agar Safawi Rasid akan segera bangkit dan kembali kepada prestasi terbaiknya tatkala skuad negara mempunyai misi besar di Piala AFF Suzuki hujung tahun ini dan juga pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula Februari 2022.

Foto kredit : Changsuek

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.