Friday, July 23, 2021
HomeBola SepakSafawi Rasid sebenarnya terlebih jalani latihan, tak cukup rehat

Safawi Rasid sebenarnya terlebih jalani latihan, tak cukup rehat

Prestasi merosot Safawi Rasid berkemungkinan berpunca daripada terlebih menjalani latihan sehingga memberi kesan kepada tubuh badan dan gangguan hormon, seterusnya menyebabkan dia gagal memberikan fokus dalam pertandingan sebenar.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa dan menurutnya langkah terbaik untuk memulihkan semula prestasi Safawi Rasid adalah memberikan rehat yang cukup.

“Selepas bermain di Liga Malaysia musim lalu dia terus pergi Portugal, berlatih. Selepas tiga bulan dia balik Malaysia, berlatih dan selepas itu bermula liga, dia berlatih lagi.

“Kemudian masuk kelayakan Piala Dunia dia pun berlatih juga, jadi dia tiada kadar rehat yang cukup untuk sistem tubuh dia terutama sistem saraf dan Safawi mungkin melalui proses OTS (over training syndrom).

“Ia menyebabkan gangguan neurohormon hingga fokusnya terganggu dan dengan latihan berterusan menyebabkan dia kelesuan walaupun dia mengambil vitamin.

“Badan dia juga tidak boleh bertindak balas dengan baik terhadap latihan yang diberikan walaupun luaran nampak dia bekerja. Kelesuan ini bukan sistem tubuh saja, tapi otak pun lesu kerana sistem saraf dikawal oleh otak.

“Safawi perlukan rehat dan tenangkan fikiran. Sebab itu pemain di Eropah pergi bercuti di pantai ketika tempoh rehat liga. Namun, mereka masih berjoging atau buat latihan ringan untuk kekalkan kecergasan,” kata Mohd Sadek kepada BH Sukan.

Selain itu, Mohd Sadek juga berkata kecederaan dialami Safawi sebelum ini juga menyebabkan dia berdepan tekanan tinggi dalam usaha untuk kembali semula ke tahap prestasi terbaik.

“Kelab perlu buat kajian, mereka ada psikologi, perubatan dan pakar sains sukan. Maklumat perlu dikumpulkan dan diputuskan barisan kejurulatihan. Kalau dia terus ditekan, itu akan mengganggu mood dia.

“Mungkin dengan memberikan rehat dalam dua atau tiga minggu dapat memulihkan semula keyakinan dan fokus Safawi, serta memulihkan semula sistem neurohormon dia,” katanya.

Safawi Rasid yang sebelum ini menjadi tonggak harapan Harimau Malaya gagal menyerlahkan prestasi terbaiknya ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan menjadi antara punca prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu merosot.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.