Safiq Rahim, Razman Roslan antara yang digugur Melaka United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim antara yang digugurkan Melaka United bagi mengharungi musim baru Liga Malaysia, demikian disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Selain pemain berusia 33 tahun yang telah bersama Melaka United sejak 2019 itu, pemain lain yang turut digugurkan adalah Razman Roslan, Uche Agba, Saiful Ridzuan Selamat, Norazlan Razali, Curran Singh Ferns dan Sony Norde.

Malah, ada beberapa lagi pemain yang dijangka tidak disambung kontrak tatkala Yusoff Mahadi mengesahkan pasukan itu akan memburu pemain berpengalaman untuk mengisi kekosongan.

Sementara itu, teka-teki mengenai masa depan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan terjawab apabila khidmatnya dikekalkan MUSA untuk setahun lagi.

Pengendali berusia 59 tahun itu sebelum ini dikatakan berdepan kemungkinan disingkirkan berikutan Melaka United mempertimbangkan beberapa calon sebagai pengganti. Tetapi ia tidak menjadi kenyataan setelah mereka gagal mencapai kata sepakat dengan calon dari Korea Selatan berhubung pembayaran gaji, manakala dua lagi calon iaitu E.Elavarasan dan K.Devan pula telahpun bersetuju membimbing pasukan lain.

“Pelantikan semula ini adalah satu cabaran buat Zainal untuk membawa kejayaan kepada pasukan walaupun pengurusan tidak menetapkan sasaran terlalu tinggi kepadanya,” kata Yusoff Mahadi ketika sidang media pada Jumaat.

Zainal Abidin telah bersama dengan Melaka United sejak 2019, di mana pada musim pertamanya dia membawa pasukan itu menduduki tangga keenam Liga Super serta layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Baca : Safiq sifatkan hanya JDT buat perubahan, pasukan lain termasuk Melaka United kekal di takuk lama

Baca : ‘Jika Selangor menang, Maradona kata nak tanggung perbelanjaan kami main di Argentina’

Pencapaian itu bagaimanapun gagal diperbaiki pada 2020 apabila Melaka United sekadar menamatkan saingan pendek Liga Super dengan menduduki tangga kesembilan dengan 11 mata, manakala Piala Malaysia pula dibatalkan.

Sebelum bersama Melaka, Zainal Abidin pernah membimbing pasukan Pahang, Selangor dan Pulau Pinang. Pencapaian terbaiknya sebagai jurulatih adalah menjuarai Liga Super 2004 dan Piala Malaysia 2014 – kedua-duanya bersama Pahang.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.