Saga Sumareh : PBNP bidas FAM tidak serius, memberi alasan tidak berasas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menyatakan kekecewaan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius dalam menyelesaikan kemelut membabitkan persatuan itu dan juga pemain kontroversi, Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf berkata mereka telah membuat aduan kepada FAM menerusi surat bertarikh 11 September agar tindakan dapat diambil ke atas pemain itu tetapi badan induk itu seperti tidak menunjukkan minat dan alasan mereka menunggu keputusan FIFA terlebih dahulu adalah tidak berasas.

“Pemain ini (Sumareh) sebagaimana diketahui adalah seorang pemain tempatan dan kes ini melibatkan kawalan serta bidang kuasa FAM. Perkara ini juga telah disahkan oleh Setiausaha Agung AFC di dalam satu kenyataan media beliau.

“Sebagai badan induk bolasepak negara yang menaungi anggota gabungan termasuk PBNP, FAM selayaknya membantu bagi penyelesaian kemelut ini agar keadilan dapat ditegakkan.

“Telah banyak kes-kes pertikaian di antara pemain dan anggota gabungan yang telah FAM kendalikan di masa lalu melalui Jawatankuasa Status Pemain atau Jawatankuasa Tatatertib FAM,” menurut Norlia dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PBNP mempunyai asas yang kukuh beserta dokumen-dokumen sah bagi membuktikan persatuan itu berada di pihak yang benar dan menegaskan semua tuduhan dibuat Sumareh adalah palsu, rekaan dan cubaan manipulasi oleh seorang pemain naturalisasi yang mendapat kerakyatan Malaysia.

“Atas alasan-alasan tersebut dan di atas nama kebenaran, maka PBNP berhak membentangkan kes dengan selayaknya.

“PBNP percaya FAM dapat memberi perhatian serius dan segera terhadap perkara ini. Jika FAM masih tidak menunjukkan minat untuk mengendalikan aduan ini, PBNP tidak akan teragak-agak untuk merujuk kes ini kepada lain-lain badan timbangtara atau agensi kerajaan yang berkaitan, malah ke Pesuruhjaya Sukan Malaysia.”

Sebagai rekod, Sumareh telah menyertai kelab Thailand Police Tero FC sehingga akhir tahun setelah membatalkan kontraknya dengan PBNP secara sebelah pihak pada awal bulan ini.

Dia sebelum itu menghilangkan diri dari kem latihan selama lebih sebulan, dipercayai kerana masalah tunggakan gaji tetapi PBNP menafikan perkara itu dan menyelar tindakannya meninggalkan pasukan sebagai tidak professional.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.