“Isteri Gadai Barang Kemas Untuk Hantar Saya Jalani Latihan” – Saharudin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pelumba basikal negara, Saharudin Jaffar mengimbau semula pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya, tiga bulan sebelum Sukan Olimpik 1968.

“13 Julai  1968, itu tarikh keramat bagi saya. Pada pagi itu saya telah dilanggar di Serendah, lebih kurang 30 batu dari Kuala Lumpur. Orang yang melanggar saya itu telah membuat laporan polis mengatakan dia telah melanggar seorang pengayuh basikal dan saya telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Tetapi ada seorang hamba Allah, seorang tentera yang dari Ipoh ke Kuala Lumpur, telah berhenti melihat keadaan saya dan membawa saya ke Hospital Besar KL.

“Saya masih ingat, ada jahitan di kepala saya, 12 jarum, cuping telinga saya terputus, tak dapat dicari di tepi jalan,. Bahu kiri saya mengalami kecederaan serius manakala basikal saya telah menjadi seperti ‘nombor 8’, tiada berguna lagi, tidak lebih dari besi buruk. Saya menggadaikan segalanya demi basikal.

“Kemalangan ngeri itu menghalang saya untuk ke Olimpik tetapi ia tidak membunuh semangat saya untuk terus berlumba.

“Sungguhpun pada ketika itu saya dengan kepala berbungkus, apabila diadakan ujian pemilihan pelumba ke Olimpik Mexico dua minggu selepas itu, saya pergi sendiri melihat perlumbaan itu, semangat saya berkobar-kobar. Apabila melihat pelumba-pelumba, saya rasa terkilan kerana saya tidak dapat bersama-sama mereka menunjukkan kebolehan saya.”

Menyingkap pembabitan Saharudin dalam arena lumba basikal, segalanya bermula pada 1959 apabila beliau menyertai acara lumba basikal di Pesta Laut Lumut.

“Saya mula berbasikal pada 1957 ketika Malaya mencapai kemerdekaan, ia sekadar satu alat pengangkutan untuk saya berulang alik ke Sekolah (Anglo Chinese School).

“Pada 1959, saya pertama kali menyertai acara perlumbaan, dari Simpang Empat Sitiawan ke Lumut, saya kalah sebab tidak tahu teknik, tiada persiapan, lagipun saya hanya gunakan basikal biasa, bukan basikal lumba.

“Oleh kerana saya berminat, tahun seterusnya saya terpaksa ubahsuai, saya merasakan basikal yang mempunyai handle bengkok adalah satu kelebihan. Saya masih ingat, basikal warna hijau, tiada gear, handle racing. Saya masuk pertandingan dan menang, bermula dari saat itulah saya lebih berminat dan berusaha menjadi seorang pelumba.”

JUAL KUIH KUMPUL DUIT

Begitupun bukan sedikit rintangan, payah jerih ditempuh Saharudin dalam laluan mencapai cita-citanya itu.

“Kakak saya (Hamimah) dan arwah ibu saya menjual kuih mengumpul duit untuk menampung saya secara tidak langsung, saya juga jimatkan duit belanja sekolah untuk beli peralatan basikal. Saya masuk pertandingan peringkat Sekolah-Sekolah Perak dan menjadi johan.

“Dalam satu perlumbaan pada 1961, pemilihan ke Sukan SEAP Rangoon, saya bersama beberapa orang rakan termasuk Ng Joo Pong telah terpilih ke temasya itu. Tetapi masalahnya ketika itu, Persatuan Lumba Basikal Malaysia tidak bergabung dengan Persatuan Berbasikal Dunia. Jadi pasukan Malaya tidak dibenarkan bertanding.

“Kami tidak putus asa, tahun berikutnya kebolehan kami diuji sekali lagi di Sukan Asia di Jakarta. Pasukan kami, semuanya ada sembilan orang termasuk juga (arwah) NA Rusli telah mendapat pingat gangsa,” ujar Saharudin yang turut pernah menyumbang sebutir pingat emas dan pingat perak di Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

Sikap sambil lewa pegawai PLBM menyaksikan skuad berbasikal negara pulang hampa dari Sukan SEAP 1969 dan menjadi sasaran kritikan media tempatan – situasi yang secara tiba-tiba membawa kepada fasa baru perjalanan karier Saharudin daripada seorang pelumba kepada pengurus pasukan seterusnya berjaya membawa sukan berbasikal tanah air memasuki era baru.

“Saya ketika itu setiausaha PLB Selangor, saya cabar semua supaya bertanggungjawab dan letak jawatan. Mereka akur dan serahkan pada saya untuk terus berjuang. Saya tengok akaun bank ketika itu hanya ada RM44.60.

“Saya akan ingat angka itu sehingga akhir hayat, saya perlu modalkan duit itu untuk ke Jakarta, tetapi kerana kita tahu bagaimana untuk menguruskannya, kita bawa pulang Piala Suharto dan terus cemerlang selepas itu apabila menang dua emas Sukan Asia 1970 menerusi Ng Joo Ngan dan arwah Daud Ibrahim. Sehingga saat ini, pencapaian itu belum dapat diatasi.

BESARNYA PENGORBANAN SEORANG ISTERI

Seringkali kita dengar, di sebalik  kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita yang menjadi pendorong. Dalam perihal Saharudin, ia adalah isteri beliau Hasmah Ibrahim yang tidak pernah sedikitpun jemu di dalam memberi sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun motivasi.

Saharudin Jaffar dan isteri "Isteri Gadai Barang Kemas Untuk Hantar Saya Jalani Latihan" - Saharudin

“Kami bukan keluarga yang ada duit, jadi dengan apa cara sekalipun akak bantu kerana dia terlampau minat dengan lumba basikal. Siang malam dia bercerita tentang basikal, dia sanggup gaduh dengan orang kerana basikal. Perkara yang paling menyentuh hati kami, masa tu anak dah tiga orang, gaji kerajaan masa tu berapalah sangat, tak sampai RM200.

“Selepas beberapa bulan pegang persatuan lumba basikal, dia dapat jemputan dari Jakarta, Jemputan Jawa. Dia gunakan duit gaji sebulan untuk urusan kejohanan itu dan perbelanjaan ke Indonesia. Akak terpaksalah fikir macam mana nak jaga rumahtangga, makan minum anak, susu anak.

“Duit makan sudah tiada, ada seorang hamba Allah, tahu tentang kami, dia hantar ikan, sayur ke asrama kami duduk. Dia tawarkan ambil dengan dia, akak ambil untuk anak-anak dan beli ikan masin. Satu bulan kami makan ikan masin. Tetapi ia sangat bermakna apabila dia balik dari Indonesia dengan kejayaan.” – Hasmah Ibrahim –

GADAI BARANG KEMAS

“Pengorbanan dia terlalu hebat, saya rasa tiada isteri yang begitu hebat sepertinya.

“Dia tidak sebut dia pernah gadai barang kemas untuk membantu saya pada ketika itu untuk menjalani latihan untuk Jelajah Jawa.

“Sekarang dia menderita penyakit kanser dalam tulang (Lymphoma Hodgking). Sejak lapan tahun lalu telah mendapatkan rawatan kimoterapi di HUKM. Tanpa dia saya kosong, kasih sayang saya terhadapnya tidak pernah berubah. Saya akan bersama dia, jaga dia sehingga akhir hayat saya,” kata Saharudin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.