Sam Johnson bukan ‘scammer’, beri dia masa dan peluang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mungkin ramai yang tidak tahu, penyerang import Sabah FC, Sam Johnson merupakan pemain termahal Liga Malaysia, dengan nilai RM3.3 juta diletakkan laman sesawang terkemuka, transfermarkt.co.uk.

Tetapi prestasi ditunjukkan pemain itu ternyata tidak menepati ekspetasi, rata-rata penyokong kecewa pemain itu tidak mempamer sentuhan jaringan diharapkan apabila sekadar meledak dua jaringan dalam 10 perlawanan.

Malah dalam beberapa perlawanan, pemain-pemain tempatan dilihat lebih menyerlah berbanding Sam Johnson, lantas sudah ada penyokong mengelar pemain itu ‘scammer’.

Begitupun pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto tidak mahu cepat melatah, dia mengharapkan penyokong setia pasukan itu agar dapat memberi masa dan peluang kepada penyerang dari Liberia itu untuk menemui sentuhannya.

“Dia sebenarnya seorang pemain yang bagus berdasarkan penilaian kami, cuma kali ini nampak dia seperti kurang lasak tetapi daripada segi taktikal, dia telah mengikut apa yang kita harapkan.

“Sam boleh menarik dua pemain pertahanan untuk berada berhampirannya serta mengawal bola, situasi ini banyak membuka ruang kepada pemain lain dalam melakukan percubaan.

“Saya faham apa diperkatakan oleh penyokong Sabah dan terima kasih atas keprihatinan mereka tetapi dia masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan, ” kata Kurniawan.

Ketika ini, pemain import Sabah FC yang paling menonjol adalah Saddil Ramdani.

Sementara itu, Kurniawan berharap barisan pemainnya dapat memanfaatkan tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri menentang Perak FC, Melaka United dan Kedah Darul Aman selepas ini untuk meraih mata maksimum seterusnya memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Pengendali dari Indonesia itu mengakui semakin berpuas hati melihat peningkatan dipamerkan selepas tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir, tetapi mengingatkan pemainnya agar tidak cepat berasa selesa dan sentiasa bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa ini peluang buat Sabah tampil dengan lebih bersemangat kerana bermain di hadapan penyokong sendiri dan harap kami sudah tekad untuk pergunakan kesempatan ini sebaiknya bagi meraih mata penting.

“Namun, jangan mudah terlalu yakin dan saya mahu mereka semua sentiasa bekerja keras serta kekalkan fokus dalam perlawanan yang kita lalui, bermula dengan menentang Perak pada Ahad ini.

“Aksi dengan Perak dan Melaka United antara dua perlawanan yang kami kena cuba menang kerana kedua-dua pasukan sedang berada dalam kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain selain cuba bersaing dengan Kedah,” katanya.

Sabah FC ketika ini di kedudukan kesembilan Liga Super dengan 10 mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Melaka United yang menduduki tangga kelapan manakala Perak di tempat kesepuluh dengan 9 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.