Sami Hyypia, pemain ‘murah giler’ yang dianggap pembelian terbaik dalam sejarah EPL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Apabila Liverpool membayar £2.6 juta untuk mendapatkan khidmat pertahanan tengah Willem II, Samy Hyypia pada 1999, tidak ramai yang memberikan tumpuan.

Hyppia adalah pemain yang langsung tidak dikenali di England ketika perpindahannya ke Anfield, tetapi pemain dari Finland itu mencipta nama sebagai satu daripada pembelian paling berbaloi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan membuat 464 penampilan bersama Liverpool, menjaringkan 35 gol dan memenangi 10 trofi.

Pada musim panas 1999, Liverpool dalam proses transisi dari era ‘spice boy’ Roy Evans kepada skuad pragmatik Gerard Houllier yang mempunyai himpunan pemain-pemain bertaraf antarabangsa.

Houllier mempunyai sebab kukuh untuk menjadikan barisan pertahanan pasukan sebagai prioriti untuk diperkasakan ketika musim penuh pertamanya sebagai pengendali the reds.

Ini kerana berakhir musim 1998/1999, Liverpool melepaskan 49 gol, empat gol lebih daripada Aston Villa dan hanya tiga gol kurang daripada Blackburn Rovers yang tersingkir. Tiada pasukan ‘top 4’ musim itu yang melepaskan gol lebih daripada 40, dengan Arsenal hanya melepaskan 17 gol.

Isu di barisan belakang Liverpool bukan sesuatu yang baru, dan bukannya mereka tidak pernah cuba mencari solusi, cuma tidak berhasil malah memburukkan lagi situasi.

Bjorn Tore Kvarme, Frode Kippe, Rigobert Song, Vegard Heggem dan Djimi Traore antara yang dibawa masuk tetapi semuanya tidak menawarkan peningkatan – meskipun Traore berjaya kekal di dalam skuad sehingga 2005 malah bermain di final Liga Juara Eropah.

Pemain-pemain berpengalaman di dalam skuad seperti Phil Babb, Stig Inge Bjornebye, Steve Staunton pula memberi indikasi bahawa mereka tidak berupaya untuk membentuk pertahanan ampuh yang boleh memenuhi keperluan sebuah pasukan untuk menjadi pencabar kejuaraan.

Untuk sampai ke tahap itu, Houllier sedar dia perlukan pasangan pertahanan tengah baru untuk memberikan stabiliti di pertahanan dalam masa masa memberikan panduan kepada dua pertahanan sisi meningkat naik – Dominic Matteo dan Jamie Carragher.

TIADA DUIT NAK BELI PERTAHANAN MAHAL

Tatkala perpindahan Jaap Stam ke Manchester United bernilai £10.75 juta pada 1998/1999 mencatat rekod baru dunia bagi pemain pertahanan, Liverpool pula mendapati mereka tidak boleh berbuat perkara sama dan terpaksa berjimat-cermat di pasaran perpindahan.

Mereka telahpun mendapatkan Dietmar Hamann dengan nilai £8 jutadari Newcastle United justeru untuk memperkasa pertahanan, Liverpool perlu mencari pemain yang murah-semurahnya.

Houllier berjaya memancing Stephane Henchoz dengan harga £3.5 jutatetapi seorang lagi pemain yang dibawa masuk dengan harga ‘murah giler’ – Sami Hyypia (£2.6 juta) – inilah yang satu daripada menjadi pembelian paling terbaik kelab.

Hyppia adalah pemain kesayangan penyokong di Willem II – dia mengetuai kelab Belanda yang lazimnya bergelut di zon penyingkiran itu untuk menduduki tangga kedua Liga Belanda pada 1998/1999.

Dengan ketinggian 6 kaki 4 inci dan ciri-ciri lengkap seorang pertahanan, Houllier mendapati Hyypia mempunyai kualiti yang dia mahukan, tetapi jangan terkejut penyokong Liverpool menyambut kemasukan pemain ini seolah sedang berkabung, tiada keceriaan terlihat di wajah mereka.

Sami Hyypia Sami Hyypia, pemain 'murah giler' yang dianggap pembelian terbaik dalam sejarah EPL

Tiada siapa pernah mendengar namanya di England, malah untuk menyebut nama Hyypia itu sendiri menjadi masalah bagi sesetengah pengulas perlawanan ketika dia melayari tahun-tahun awalnya bersama Liverpool.

Hyypia pada hakikatnya tidak menunggu lama untuk meletakkan dirinya sebagai pemain penting di dalam pasukan. Dengan ketenangan, kematangan dan pengalaman kepimpinan yang tinggi, pemain berusia 25 tahun itu membentuk gandingan sempurna dengan Henchoz dan menjadi role model yang cukup ideal buat Jamie Carragher.

Malah tiap kali kapten Jamie Redknapp dan pembantu kapten Robbie Fowler tidak beraksi, Hyypia senantiasa diberi kepercayaan untuk memakai lilitan selaku kapten di lengan dan mengemudi pasukan.

Pada musim 2001 yang mana Liverpool menjulang treble Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA, Hyppia beraksi sebagai kapten untuk sebahagian besar musim tersebut.

Dia juga membimbing Carragher untuk beralih dari posisi pertahanan sisi ke pertahanan tengah, kemudiannya bergandingan cemerlang dengan tonggak England itu untuk beberapa musim. Tidak keterlaluan untuk mengatakan gandingan Hyypia-Carragher adalah yang terbaik disaksikan penyokong the reds selepas era Alan Hansen dan Mark Lawrenson.

“Apa yang menyusul kemudiannya adalah sedekad dengan konsistensi di tahap tertinggi, dia menukar rekod defensif kelab ini dan memenangi 10 trofi.

“Satu-satunya perkara yang kurang pada dia adalah kelajuan, tetapi dia adalah gandingan terbaik saya di peringkat kelab, dan jumlah penampilan kami sepanjang lapan tahun bersama adalah mengagumkan,” ujar Jamie Carragher.

Hyypia menghadiahkan Liverpool dua trofi Piala FA, dua Piala Liga, dua Piala Super UEFA, Piala UEFA dan sekali menjulang Liga Juara Eropah.

Foto kredit : LFC Foundation

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.