Sanjar, Diallo dilepas kerana gagal capai kata sepakat berhubung gaji

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harapan penyokong Terengganu FC untuk menyaksikan kelibat Sanjar Shaakhmedov kekal menyarung jersi pasukan itu musim depan tidak kesampaian apabila pihak pengurusan memaklumkan kontraknya tidak disambung.

Begitu juga ceritanya dengan seorang lagi pemain import iaitu Babacar Diallo yang turut dilepaskan.

Sebelum ini Terengganu FC telahpun menamatkan khidmat tiga pemain import iaitu Lee Tuck, Faris Ramli dan penjaring terbanyak mereka iaitu Dominique Da Sylva tetapi meneruskan rundingan dengan Sanjar dan Diallo berikutan khidmat mereka masih diperlukan.

Begitupun pengumuman terbaru ini bermakna skuad bimbingan Nafuzi Zain itu akan dibarisi lima pemain import baru musim depan.

Keputusan tidak menyambung khidmat Sanjar dan Diallo difahamkan kerana kegagalan mencapai kata sepakat bersama dua pemain itu berhubung tawaran gaji.

“Kedua-dua pemain itu memang ada dalam perancangan jurulatih, kita sebolehnya mahu mengekalkan mereka dan telah mengadakan perbincangan bagi menerangkan tentang perancangan pasukan dan kekangan kewangan tetapi rundingan kontrak baru menemui jalan buntu.

“Kita sebolehnya tidak mahu berbelanja lebih dari kemampuan dan sasarkan mahu membuat penjimatan antara 20 ke 30 peratus pada musim depan, bagi mengelakkan masalah lain timbul di kemudian hari,” ujar Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Sabri Abas.

Sebagai rekod Sanjar yang berasal dari Uzbekistan mula menyarung jersi Terengganu FC pada 2019 dilabel sebagai perancang prolifik dan menjadi tonggak penting yang tidak didendang bersama pasukan itu. Dia kini dikatakan diintai oleh pasukan dari Korea Selatan.

Manakala Diallo yang berasal dari Senegal pula menyertai pasukan pada awal musim ini tetapi menjadi antara tonggak penting Terengganu FC menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga seterusnya mara ke Piala AFC.

Selain lima pemain import ini, Terengganu FC juga difahamkan tidak menyambung kontrak beberapa pemain tempatan antaranya D.Saarvindran dan Darren Lok.

Nafuzi Zain sebelum ini telah memberitahu bahawa pasukannya akan dibarisi rata-ratanya pemain muda dan pemain yang tiada nama besar dalam arena bolasepak tempatan.

Mereka juga dikatakan telah berjaya memancing bekas penyerang Pahang Faisal Halim dan perancang Kelantan Nik Akif Syahiran tetapi belum ada pengumuman rasmi.

Foto : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.