Sanusi berang JDT tunjuk perangai samseng, Mora nafi JDT suka cari gaduh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor berang skuad Johor Darul Takzim (JDT) yang bertandang ke Stadium Darul Aman pada Selasa, menunjukkan perangai ‘samseng’ di tempat lawan.

Reaksi Muhammad Sanusi itu berhubung pergaduhan yang tercetus antara pemain serta pegawai ketika perlawanan antara Kedah Darul Aman dan JDT, selepas wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Perlawanan itu dimenangi JDT menerusi penalti minit akhir Bergson Da Silva, tetapi beberapa insiden panas yang tercetus termasuk pada minit-minit akhir membuatkan Sanusi menganggap JDT berperangai samseng dan tidak menghormati tuan rumah.

“Saya dapat satu kesimpulan, JDT ni main samseng sikit, dia macam kasta kayangan. Gaya dan karakter pemain dia tu kita nampak… pasal malam (tadi) ada nampak insiden nak gaduh sikit, dia terpa tempat kita.

“Hey, dia main stadium kita tu, dia main kampung kita, dia tak respect langsung dekat kita, dia terpa dekat coach kita, (dekat) player kita buat cengey-cengey.

“Jangan kerek sangat main tempat orang, agak-agaklah,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kedah dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Rabu, sepertimana disiarkan portal Sukanz.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden panas dan situasi tegang yang tercetus ketika permainan, Benjamin Mora berkata JDT bukanlah pasukan yang suka mencari gaduh dan sentiasa menghormati lawan.

“Ya ia situasi yang tidak menyenangkan di luar padang dan di atas padang, kami pasukan yang tak suka cari gaduh, kami datang nak bermain bola. Kami menghormati pasukan lawan, kami adalah JDT dan kami juga mahu menjadi pasukan yang paling dihormati oleh lawan.

“Kedua-dua pasukan nak menang, dan ada perkara-perkara yang dirasakan tidak adil, menimbulkan rasa tidak puas hati. Dalam ketegangan perlawanan masing-masing cakap sesuatu, berperang mulut, tapi benda habis kat situ.

“Kami bersikap profesional, kami hormati logo di dada, kami hormati Kedah. Pada saya mungkin kecoh dalam lima minit, dan habis kat situ, ia tidak perlu diperbesarkan atau simpan dalam hati,” ujar Benjamin Mora.

Kredit foto : Arena HijauKuning

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.