‘Sanusi tak payah cari publisiti murahan, sila ajar pemain berdisiplin ikut cara TMJ’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Mohd Nor bahawa Johor Darul Takzim bersikap samseng dan ‘kerek’ di tempat orang, disifatkan sebagai kenyataan kurang matang dan sekadar mahu mencari publisiti murahan.

Muhammad Sanusi pada Rabu mendakwa pemain dan pegawai pasukan JDT sebagai ‘kasta kayangan’ dan tidak menghormati Kedah Darul Aman sebagai tuan rumah apabila banyak menimbulkan pergaduhan di atas dan luar padang, ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Aman pada Selasa lalu.

Perlawanan yang dimenangi JDT menerusi sepakan penalti minit akhir Bergson da Silva itu turut menyaksikan berlakunya pergeseran antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan ketika rehat separuh masa pertama yang berlanjutan ke bilik persalinan.

Bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir berpendapat kenyataan Muhammad Sanusi itu tidak melambangkannya sebagai seorang pemimpin sejati malah sengaja mengambil kesempatan melakukan provokasi kurang bijak.

“Untuk apa Presiden KFA (Muhammad Sanusi) membuat kenyataan tidak matang itu. Mahu cari publisiti murahan. Sepatutnya beliau bersikap profesional dan tidak memperbesarkan insiden berkenaan kerana sukan bola sepak adalah untuk menyatukan pemain, jurulatih dan penyokong, bukan melaga-lagakan.

“Muhammad Sanusi sepatutnya mengikut langkah Aidil Sharin Sahak (ketua jurulatih KDA) yang bersikap profesional apabila menyatakan tidak tercetus insiden tegang selepas tamat perlawanan, sebaliknya kesemua pemain KDA FC dan JDT bersalaman antara satu sama lain.

“Sebagai seorang ketua sebuah organisasi dan seorang profesional beliau sepatutnya mengeluarkan satu kenyataan yang lebih adil dan bijaksana berdasarkan apa yang berlaku dari awal. Jika diimbas semula perlawanan itu, pemain KDA FC yang kerap melakukan provokasi terhadap pemain JDT.

“Kita lihat sendiri apa tindakan Renan (Alves) yang secara sengaja menghalang dengan keras larian Gonzalo Cabrera yang terpaksa dikejarkan ke hospital. Insiden Azamuddin Akil dengan sengaja mengasari Corbin Ong tanpa bola di hujung-hujung perlawanan. Kenapa dia tidak persoalkan tindakan kedua-dua pemain KDA FC itu?

“Sepatutnya Muhammad Sanusi harus mengingatkan setiap pemain Kedah mengekalkan disiplin yang tinggi sebagaimana Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa mendidik pemain-pemain dan pengurusan Johor DT untuk kekal berdisiplin dan berintegriti tinggi,” kata Hasnizam kepada Sukan BH.

Foto kredit : Arena HijauKuning

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.