Sapu minyak silinder motor pada kasut bola rahsia kelincahan Shaharudin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Shaharudin Abdullah, antara wira bolasepak tanah air yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik Munich 1972.

Penyokong bolasepak tempatan pada era tersebut pastinya tidak lupa dengan kelincahan dan kepantasan larian Shaharudin Abdullah ketika mewakili skuad negara dan juga negeri kelahirannya Pulau Pinang.

Malah penyerang sensasi ini turut dikenali dengan kekuatan tendangannya, menjadikan kelibatnya cukup digeruni penjaga gol mahupun pertahanan pasukan lawan.

Shaharudin Abdullah yang digelar ‘The Black Cat’ dan ‘Sharpshooter’ mendedahkan petua yang menjadi amalan terutamanya untuk berlari dengan baik meskipun dalam keadaan padang basah atau hujan.

“Ia adalah petua yang dikongsikan ayah saya (Abdullah Mohd), penjaga gol pasukan Marin ketika itu. Saya melihat ayah yang dipanggil Tok Wan menyapu minyak silinder motosikal pada kasut bola setiap kali sebelum masuk ke padang menyebabkan timbul minat saya ingin tahu kenapa dia berbuat demikian.

“Akhirnya Tok Wan memberitahu saya petua menyapu minyak silinder itu adalah untuk mengelakkan air masuk ke dalam kasut sehingga menyebabkan ia menjadi berat dan menjejaskan prestasi larian di padang,” katanya.

Shaharudin Abdullah Olimpik Munich Sapu minyak silinder motor pada kasut bola rahsia kelincahan Shaharudin

Shaharudin mencuba sendiri petua itu dan ternyata ia banyak membantunya ketika beraksi selain beberapa lagi petua yang diamalkan masyarakat dulu.

“Tok Wan banyak memberi saya dorongan dan motivasi, tetapi latihan yang diberikan kepada saya juga setiap hari di padang Marin di hadapan rumah saya ketika itu juga amat ‘keras’ dan menekankan disiplin.

“Saya lihat itulah yang menjadikan saya turut berdisiplin ketika beraksi di atas padang dan buktinya, saya tidak pernah menerima sebarang kad merah sepanjang karier.

“Menerima kad merah sama seperti hukuman gantung yang sememangnya menjadi igauan ngeri pemain. Sebab itulah saya menjaga disiplin di atas padang,” katanya.

AYAH AMBIL CUTI KECEMASAN NAK TENGOK SHAHARUDIN BERAKSI

Shaharudin juga memberitahu bahawa ayahnya sentiasa mengambil peluang untuk melihat sendiri aksi beliau ketika menyertai sebarang kejohanan sehingga pernah mengambil cuti kecemasan.

“Saya lihat itu adalah dorongan paling bernilai dan berkesan untuk beraksi cemerlang dan ia perlu dilakukan oleh ibu bapa pemain bola sepak masa kini. Jika saya mendengar jeritan Tok Wan ketika bermain, saya akan berazam untuk menjaringkan gol sebagai hadiah kepadanya,” katanya.

Mengenai pengalaman bermain di pentas Sukan Olimpik, Shaharudin menyifatkan ia pengalaman cukup berharga apabila dapat beraksi satu padang bersama pemain ternama dunia walaupun Malaysia tersingkir awal.

“Saya bertemu penyerang Jerman Barat, Ewald Hammes semasa sesi latihan dan sempat berbual dengan pemain itu selain dapat bertemu dengan seorang lagi penyerang pasukan itu, Gerd Müller.

“Mereka turut memuji pasukan negara dan menyifatkan kami sebagai seorang yang bekerja keras selain memiliki semangat untuk berjaya yang tinggi ketika berlatih dan bermain di atas padang,” katanya.

Sumber : bharian.com.my

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.