Sarawak United hanya kekalkan Amri Yahyah jika jurulatih mahu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sama ada pemain veteran Amri Yahyah akan kekal menyarung jersi Sarawak United pada musim depan ataupun tidak, terletak sepenuhnya di tangan ketua jurulatih E.Elavarasan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak United, Naresh Nair berkata kontrak Amri Yahyah sudahpun tamat pada bulan lalu dan mereka menyerahkan kepada Elavarasan untuk memutuskan masa depan bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

“Kami akan ikut nasihat jurulatih dan kalau dia (Amri) tidak disenaraikan, kami akan sokong cadangan jurulatih,” kata Naresh Nair.

Ditanya kepada Elavarasan jika beliau masih menagih kudrat pemain yang akan berusia 40 tahun pada bulan depan itu dalam saingan Liga Premier 2021, Elavarasan berkata dia sebolehnya mahu pasukan itu turut dibarisi tonggak berpengalaman seperti Amri Yahyah.

“Kami sudah berbincang, Amri juga meminta sedikit masa tapi semua terpulang kepadanya. Pasukan ini perlukan pemain berusia seperti Amri, pemain muda. Sebab itu saya memberinya ruang,” kata jurulatih yang membawa PKNS FC ke final Piala FA 2016 itu.

Bagi musim 2021, Sarawak United antara pasukan yang membuat persiapan gah di mana mereka setakat ini telah mengesahkan kemasukan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha, bersama-sama bekas kapten Selangor Taylor Regan dan bekas tonggak Harimau Muda, Ameer Saidin.

Baca : Sathianathan punca Norshahrul Idlan Talaha tolak tawaran dua kelab Liga Super 

Pasukan yang dulunya dikenali sebagai Selangor United itu turut membawa masuk bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, B.Sathianathan sebagai Pengarah Teknikal dan meletakkan sasaran tinggi mahu layak ke saingan Liga Super 2022.

Sebagai rekod, pada musim pertama mereka di Liga Premier (2019), Sarawak United berakhir di kedudukan kesembilan dari 11 pasukan manakala bagi musim 2020, pasukan itu menamatkan saingan di tempat ke-10 dari 12 pasukan meskipun diperkuatkan beberapa nama berprofil tinggi antaranya Patrick Ronaldinho Wleh, S.Veenod, S.Chanturu, Fauzi Roslan dan Ashri Chuchu.

Pasukan dengan gelaran the golden hornbill ini akan bersaing dengan lima pasukan untuk merebut slot ke Liga Super 2022 iaitu Kelantan, Kelantan United, Negeri Sembilan, PDRM FA dan musuh setempat Kuching FA. Lima lagi pasukan dalam Liga Premier 2021 adalah berstatus pasukan pembangunan iaitu JDT II, Perak II, Selangor II, Terengganu FC II serta pasukan yang baru dibentuk Skuad Projek FAM-MSN.

Foto ehsan : Goal.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.