Sathianathan anggap TMJ buat keputusan tepat tamatkan kontrak Safawi Rasid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih Selangor, B.Sathianathan mempertahankan tindakan pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawa pulang Safawi Rasid dari kelab Portugal, Portimonense SC, hanya dua bulan selepas dia menyertai kelab itu secara pinjaman.

Safawi sepatutnya bersama dengan kelab Liga Primeira itu untuk tempoh setahun sehingga Mei tahun depan tetapi Tunku Ismail mengesahkan kontrak pinjaman Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia sebanyak dua kali itu ditamatkan lebih awal dan dia akan kembali memperkuatkan pasukan Harimau Selatan dalam Liga Malaysia 2021.

Sepanjang bersama Portimonense SC, Safawi tidak membuat satu pun penampilan dalam skuad utama, justeru Sathianathan beranggapan Tunku Ismail telah membuat keputusan tepat dengan membawanya pulang memandangkan penyerang Harimau Malaya itu memerlukan perlawanan kompetitif untuk kekal pada tahap terbaik prestasinya.

Malah, dia juga yakin Tunku Ismail mempunyai perancangan tersendiri di dalam membentuk perjalanan karier pemain berusia 23 tahun kelahiran Dungun itu.

“Safawi masih muda dan ini adalah proses untuknya mengenali bola sepak di luar negara. Saya percaya TMJ (Tunku Mahkota Johor) mempunyai perancangannya dengan menghantar Safawi bermain di Portugal.

“Walaupun Safawi tidak bermain dalam skuad utama dan hanya mewakili pasukan Bawah 23 tahun Portimonense, tetapi pendedahan yang dia dapat itu sangat bagus, bukan saja kepada JDT tetapi juga pasukan kebangsaan,” kata Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia seperti dilaporkan Sinar Harian.

Baca : Bukan penamat karier Safawi

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu turut menegaskan bahawa pulang ke Malaysia bukanlah bermakna peluang pemain itu untuk beraksi di luar negara sudah tertutup, dengan menjadikan penyerang Thailand, Teerasil Dangda sebagai contoh.

“Dulu dia (Dangda) pernah dapat tempat di Manchester City, tetapi tidak berjaya masuk kesebelasan utama. Dia balik ke Thailand dan selepas beberapa tahun, sekarang dia mendapat kepercayaan untuk menjadi penyerang di kelab Jepun.

“Ramai juga pemain dari Jepun yang sudah mencapai usia 27 dan 28 tahun beraksi di Eropah. Ini adalah proses sebagai seorang pemain profesional. Bukan mudah untuk seseorang pemain Asia menembusi skuad utama kelab di Eropah.

“Apabila Safawi pulang ke Malaysia, dia akan terus berusaha meningkatkan kemampuan diri, mungkin dia tidak bernasib baik kali ini, tetapi untuk masa akan datang saya yakin dia akan berjaya di kelab lain.

“Saya percaya peluangnya akan terbuka luas untuk bermain di kelab luar negara selepas ini, pengalaman yang dimiliki Safawi itu sangat penting kerana dia dah tahu apa yang diperlukan untuk bermain di luar negara,” kata Sathianathan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.